Belanjawan Sarawak 2023: Pelbagai Program Perkukuhkan Kebajikan Sosial Rakyat Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Belanjawan Sarawak 2023: Pelbagai Program Perkukuhkan Kebajikan Sosial Rakyat Sarawak
0 Comments

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan pelbagai program untuk memperkukuhkan kebajikan sosial rakyat di negeri ini dalam Belanjawan 2023 Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, untuk itu Kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan perlindungan wanita, kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang kurang bernasib baik dengan model pembangunan yang berpaksikan rakyat.

“Program-program ini termasuk RM52 juta untuk pelbagai bantuan kebajikan seperti Bantuan Am dan Bantuan Bencana, RM21 juta untuk Program Air Percuma RM15 juta untuk Bantuan Penjagaan Selepas Bersalin RM12 juta untuk Kenyalang Gold Card (KGC) sebagai Bantuan Ihsan Kematian untuk 4,000 waris warga emas berumur 60 tahun ke atas, RM10 juta untuk Endowment Fund Sarawak (EFS)  dan RM10 juta untuk bantuan kewangan bagi Caj Sambungan Elektrik.

“Manakala, RM4.2 juta sebagai Geran Khas untuk Kasih Suri Keluarga Malaysia yang akan memberi manfaat kepada balu dan wanita bujang yang berdaftar di bawah Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), RM3.75 juta untuk Program Memperkasa Isi Rumah Berpendapatan Rendah (e-Life) untuk membantu 750 penerima ke arah meningkatkan pendapatan mereka melalui usaha perniagaan kecil dengan menyediakan mereka kit permulaan dan kemahiran keusahawanan, RM3.5 juta untuk program kesedaran dan intervensi untuk program kesejahteraan masyarakat dan RM2 juta untuk Bantuan Pesakit Buah Pinggang (BPBP) bagi membantu pesakit buah pinggang menjalani rawatan serta membeli lebih banyak mesin hemodialisis,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Sarawak 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Premier Sarawak menambah, selain bantuan kewangan, Kerajaan Sarawak juga akan menyediakan peruntukan untuk mewujudkan pusat-pusat untuk komuniti kurang bernasib baik dan berkeperluan khas.

“Kerajaan Sarawak juga akan menyediakan peruntukan untuk mewujudkan pusat-pusat komuniti kurang bernasib baik dan berkeperluan khas seperti RM500,000 untuk penubuhan Pusat Selamat untuk Gelandangan dan Komuniti Terlantar di Bintulu dan Miri, sebuah pusat perlindungan transit untuk memberi bantuan dan perlindungan di kalangan individu dan keluarga yang terlibat dalam masalah sosial.

“RM500,000 untuk kerja-kerja awal penubuhan Pusat Komuniti Keperluan Khas (SNCC). Konsep yang dibentuk untuk SNCC ini akan menjadi yang pertama di Malaysia.

“RM2.2 juta untuk menubuhkan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk isu sosial, masalah dan campur tangan untuk keluarga yang kurang bernasib baik, terdedah dan terpinggir, dan individu seperti mereka yang mengalami masalah ketagihan, gelandangan, perceraian, perkahwinan, pengenalan diri, dan sebagainya,” tambahnya lagi.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *