Belanjawan Sarawak 2023: Program Pembangunan Belia Sarawak Dipergiatkan

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Belanjawan Sarawak 2023: Program Pembangunan Belia Sarawak Dipergiatkan
0 Comments

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus mempergiatkan pelaksanaan program-program untuk membangunkan belia di negeri ini termasuk dalam sukan dan kebudayaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, untuk itu Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM6.1 juta untuk pembangunan belia dan program sukan massa.

“Pada tahun 2023, sejumlah RM6.1 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan belia dan program sukan massa yang antara lain termasuk Persidangan Kesihatan Mental Belia Antarabangsa, Permainan e-Sukan Antarabangsa, Cabaran Sukan Ekstrem Negara, Hari Sukarelawan Belia Antarabangsa dan Negeri, program Alam Sekitar Belia, Youth Entrepreneur Setup (YES) dan banyak lagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Sarawak 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Premier Sarawak juga memberitahu, Kerajaan Sarawak juga akan memperuntukan RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai aktiviti di bawah Pembangunan Usahawan Belia.

Bagi membangun dan menaik taraf kemudahan sukan pula, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, sejumlah RM41 juta akan diperuntukan kepada Perbadanan Sukan Sarawak dan RM17 juta kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak untuk membiayai operasi mereka serta melaksanakan pelbagai program pembangunan sukan.

Katanya, sejumlah RM47 juta akan disediakan pada tahun 2023 untuk melaksanakan pelbagai projek kemudahan sukan termasuk menaik taraf dan membaik pulih kemudahan sukan sedia ada, termasuk kemudahan sukan di Petra Jaya, Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu, Petra Jaya, Kompleks Sukan Sebauh, Bintulu, Kompleks Sukan Mini Selangor dan Naik Taraf Stadium Balingian.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *