Terap Pendidikan Untuk Masa Depan – Datuk Roland Sagah

UKAS  > Edisi-Tengah >  Terap Pendidikan Untuk Masa Depan – Datuk Roland Sagah
0 Comments

SELASA, 22 NOVEMBER 2022

SIBU: Sistem pendidikan di Sarawak harus dititikberatkan kepada semua pelajar dan pengajar bagi memastikan ia terus maju ke hadapan dan cemerlang.

Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pendidikan adalah kunci untuk membolehkan Sarawak mencapai masa depan yang makmur terutama dalam menuju ekonomi baharu.

“Saya ingin menyeru pemimpin pendidikan dan guru, dan semua pihak berkepentingan pendidikan di negeri ini untuk bersama-sama mewujudkan modal insan berkualiti bagi memacu Sarawak ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030.

“Sistem pendidikan yang cemerlang dapat melahirkan generasi bijak pandai dalam apa sahaja bidang yang diberikan untuk digunakan dalam pembangunan dan pentadbiran khususnya di Sarawak,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Majlis Perasmian Second International Conference On Education Transformation (2nd i-CET) 2022 di Hotel Kingwood, Sibu pada Isnin.

Jelasnya, Sarawak kini dalam proses menghasilkan tenaga hijau yang membolehkan Sarawak meningkatkan ekonomi serta menyerlahkan lagi nama negeri kepada negara luar secara amnya.

“Sarawak sangat diberkati dengan sumber asli yang kaya, dan negeri ini dilihat mempunyai potensi untuk teknologi baharu, termasuk menghasilkan hidrogen dan tenaga hijau,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, program i-CET 2022 ini diadakan adalah bagi membolehkan pendidikan masa depan ditakrifkan melalui penyelidikan serta dapat menyediakan platform untuk berkongsi perspektif dan pendekatan yang inovatif.

Dalam majlis sama Datuk Roland berkata, persidangan i-CET 2022 bertemakan ‘Cabaran Pendidikan di Dunia VUCA’ adalah sangat sesuai dan tepat pada masanya.

“Saya amat berbesar hati untuk ambil perhatian bahawa persidangan ini hari ini akan membincangkan banyak cabaran pendidikan yang dihadapi oleh guru dan pelajar dalam keadaan perubahan yang berterusan dan tidak dapat diramalkan yang kini menjadi kebiasaan dalam industri tertentu, industri Pendidikan dan juga dalam bidang dunia korporat.

“Sejak pandemik COVID-19 melanda, ia secara tidak langsung memberi kesan yang besar kepada industri pendidikan,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau turut meminta agar guru-guru dapat memberikan ilmu sepenuhnya kepada para pelajar agar dapat membuahkan hasil yang terbaik.

“Guru perlu meningkatkan harapan untuk membolehkan generasi masa depan kita menjadi kuasa siber dan minda yang berkuasa bagi meningkatkan maruah, imej dan kemahiran dalam membawa Sarawak ke hadapan,” katanya.

Tambahnya, Sarawak juga bercadang untuk menyediakan dermasiswa kepada pelajar Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan menyokong pelajar daripada latar belakang sosioekonomi yang kurang bernasib baik, tanpa mengira etnik mereka, untuk mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *