Peruntuk Dana Tangani Isu Banjir Kilat Di DUN Kota Sentosa

UKAS  > Edisi-Selatan >  Peruntuk Dana Tangani Isu Banjir Kilat Di DUN Kota Sentosa
0 Comments

RABU, 23 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak diseru untuk memperuntukkan dana pembangunan bagi menangani isu banjir kilat yang menjejaskan masyarakat di kawasan Dewan Undangan (DUN) Kota Sentosa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Yap Yau Sin memberitahu, Borneo Garden serta Taman Happy Valley khasnya seringkali menghadapi masalah tersebut.

“Isu banjir kilat masih menjejaskan masyarakat di DUN Kota Sentosa. Dua contoh kawasan tersebut ialah Borneo Garden, Off Jalan Lapangan Terbang dan Taman Happy Valley, Off Jalan Tun Jugah.

“Berkaitan perkara ini, saya menyeru Kerajaan Sarawak agar dana pembangunan diperuntukkan untuk menyelesaikan isu tersebut yang dihadapi penduduk di kedua-dua tempat ini,” katanya ketika sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) 2022 dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Selain itu, Yap juga menyeru Kerajaan Sarawak agar membuat kajian trafik secara menyeluruh dan menyediakan dana untuk menaik taraf Jalan Stakan, Jalan Liu Shan Bang serta Jalan Sungai Tapang yang mengalami peningkatan trafik.

“Ini adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku pada waktu kemuncak,” tambahnya.

Dalam pada itu, ADUN Kota Sentosa itu menyifatkan dana RM1.12 bilion yang diperuntuk di bawah Belanjawan Sarawak 2023 untuk mempergiatkan pembangunan infrastruktur, sekaligus mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini sebagai satu langkah berpandangan jauh. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *