Pindaan RUU Kesihatan Awam Veterinar Perkasa Usaha Banteras Rabies

UKAS  > Edisi-Utama >  Pindaan RUU Kesihatan Awam Veterinar Perkasa Usaha Banteras Rabies
0 Comments

RABU, 23 NOVEMBER 2022

KUCHING: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kesihatan Awam Veterinar 2022 akan memperkasakan usaha kerajaan Sarawak dalam memerangi wabak Rabies di negeri ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Ujang, pindaan terhadap RUU tersebut akan membenarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) memberi kuasa kepada Immune Belt Enforcement Team (IBET) dan pegawai kesihatan membantu mereka dalam proses vaksinasi dan melaksanakan tugasan JPVS mengekang penularan wabak Rabies di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Untuk rekod katanya, sebanyak 224,434 ekor anjing telah divaksinasi sejak 2017 di mana sebanyak 170,925 telah menerima dos pertama dan 44,330 telah menerima dos penggalak kedua.

Jelasnya, tugas ini dilaksanakan oleh seramai 252 petugas (dalam pelbagai gred) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak di seluruh negeri.

“Terdapat keperluan bagi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak menambah jumlah kakitangan mereka di negeri ini agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan efektif.

“Penubuhan IBET sangat bertepatan kerana ia dapat membantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan mengawal penularan rabies di seluruh negeri.

“Bagaimanapun, ketika ini tiada peruntukan dalam Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 (Cap.32) memberi kuasa kepada kakitangan IBET dan pegawai lain selain petugas JPVS untuk boleh mengeluarkan vaksin dan ubat veterinar.

“Justeru, pindaan RUU ini akan memberikan mereka kuasa undang-undang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sewajarnya,” katanya semasa membahaskan RUU berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Katanya, Seksyen 6 dipinda untuk membenarkan pihak berkuasa veterinar negeri mewakilkan fungsi dan tugasnya kepada mana-mana pegawai awam manakala Seksyen 57 dipinda untuk membenarkan orang lain mengedarkan ubat veterinar oleh pihak berkuasa veterinar negeri.

Tambah beliau, selain menubuhkan IBET kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan sebanyak RM7.07 juta di bawah Pelan Tindakan Bagi Program Kawalan dan Pembasmian Rabies sejak 2017.

Terdahulu Pindaan RUU berkenaan telah dibentangkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dan diluluskan oleh Speaker DUN Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *