KPWK Kenalpasti Rakan Strategik Rangka Kurikulum Latihan Pendidik, Pengasuh Bantu Kanak Kanak Bekeperluan Khas

UKAS  > Edisi-Utara >  KPWK Kenalpasti Rakan Strategik Rangka Kurikulum Latihan Pendidik, Pengasuh Bantu Kanak Kanak Bekeperluan Khas
0 Comments

AHAD, 27 NOVEMBER 2022

MIRI: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak bersama SeDidik telah mengenalpasti rakan strategik dalam merangka kurikulum latihan pendidik dan pengasuh untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rosey Yunus berkata, rakan strategik berkenaan ialah Pusat Genius Kurnia, Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC)  Sarawak dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

“Latihan ini disasarkan kepada semua pendidik dan pengasuh SeDidik iaitu seramai 136 orang yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Adalah menjadi harapan kita agar semua pendidik dapat memanfaatkan peluang ini dalam usaha kita dapat membantu kanak-kanak berkeperluan khas agar tidak ketinggalan dalam pendidikan bermula dari TADIKA,”katanya dalam Majlis Konvokesyen Tadika SeDidik Zon Miri Kali Ke-32 di Hotel Mega di sini pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu menambah, ini adalah sejajar dengan dasar terbuka yang baharu iaitu dasar inklusiviti yang dilaksanakan dengan penetapan bahawa semua Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) SeDidik menerima kemasukan kanak- kanak berkeperluan khas.

Datuk Rosey juga memberitahu, setakat 13 Oktober 2022, sebanyak 27 buah TADIKA SeDidik mempunyai seramai 63 orang kanak-kanak berkeperluan khas iaitu 19 orang kanak-kanak mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan 44 orang masih dalam proses pendaftaran.

Sementara itu dalam majlis konvokesyen itu, seramai 118 orang kanak-kanak dari 13 buah pusat SeDidik Zon Miri menerima sijil tamat pengajian mereka.

Selain penyampaian sijil tamat prasekolah, SeDidik juga menyampaikan hadiah-hadiah kecemerlangan kepada kanak-kanak dan ibu bapa antaranya adalah Anugerah Pelajar Terbaik / Murid Contoh kepada seramai 16 orang, Anugerah Ibu Bapa Contoh kepada seramai 10 orang dan Anugerah Pencapaian Terbaik Ujian Penguasaan Kemahiran Asas (UPDIDIK) kepada seramai 10 orang.

Hadir sama ialah Pengurus Besar SeDidik Ayub Dahari, wakil Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Miri Kamel Pozan, Temenggong Abdul Rahman Fadzail dan Pengurus Operasi Zon Miri/Limbang merangkap Pengerusi Majlis Konvokesyen Tadika SeDidik Zon Miri Fatimah Sua’al.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *