MTCP Sasar 3 Juta Pengunjung Ke Sarawak Pada 2023, Jana RM7.25 Bilion Resit Pelancongan

UKAS  > Edisi-Selatan >  MTCP Sasar 3 Juta Pengunjung Ke Sarawak Pada 2023, Jana RM7.25 Bilion Resit Pelancongan
0 Comments

RABU, 30 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menyasarkan kemasukan seramai 3 juta pengunjung ke Sarawak pada tahun 2023.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, sasaran kemasukan pengunjung ini dijangka menjanakan resit pelancongan sebanyak RM7.25 bilion. 

Menurutnya, sasaran ini ditetapkan berdasarkan trend prestasi pelancongan semenjak beberapa bulan yang lepas.

“Dari Januari hingga Oktober tahun ini, bilangan pengunjung ke Sarawak telah meningkat sebanyak 1,118.41 peratus kepada 1,378,017 orang berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021.

“Kami yakin bahawa negeri ini akan menerima anggaran pengunjung sekitar 1.8 juta orang menjelang penghujung tahun 2022. Perkara ini melebihi sasaran awal iaitu 1.2 juta penghujung untuk tahun ini,” jelasnya ketika sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim berkata, jumlah kemasukan pelancong ke Malaysia telah meningkat kepada 3.21 juta orang dari Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun 2021.

“Ini telah menjana resit pelancongan sebanyak RM9.35 bilion,” tambahnya lagi. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *