Sarawak Laksana Program Istimewa, Lebih Agresif Untuk Pembangunan Atlet

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sarawak Laksana Program Istimewa, Lebih Agresif Untuk Pembangunan Atlet
0 Comments

RABU, 30 NOVEMBER 2022

KUCHING: Dalam menyediakan Sarawak untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak melalui Perbadanan Sukan Sarawak (SCC) telah membangunkan program yang lebih agresif dan istimewa dengan memberi tumpuan kepada kumpulan atlet terpilih untuk Sarawak.

Program ini akan menyediakan jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman serta program latihan strategik untuk melahirkan atlet pelapis berkualiti.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata inisiatif lain adalah memperkukuh pangkalan itu dengan membuka lebih banyak pusat Program Elit Permulaan (PEP).

“Fokus pusat-pusat ini adalah untuk mengenal pasti kumpulan bakat atlet yang belum diterokai.

“Pusat-pusat ini bukan sahaja berpusat di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar seperti Kapit, Baram, Belaga, Betong, Daro, Lubuk Antu and Gedong di mana atlet yang berbakat boleh ditemui,” katanya dalam sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak ke-19 pada Rabu.

Terdahulu beliau menyatakan bahawa Kementeriannya juga menjaga kebajikan atlet, di mana mereka boleh melanjutkan pelajaran di universiti dan kolej samada dalam dan luar negara tanpa mengganggu program latihan sukan mereka.

Jelasnya, ini akan memberi jaminan kepada atlet bahawa mereka tidak akan terjejas dalam mencapai matlamat peribadi dan visi sukan.

“Sebanyak 69 daripada bekas atlet kami telah terlibat dalam program bimbingan masa depan dengan SSC dan negeri-negeri lain di Malaysia. Manakala 26 daripada bekas atlet kami telah diterima bekerja dengan syarikat tempatan.

“Bagi atlet yang melanjutkan pelajaran pada masa hadapan, Kementerian saya telah membantu 180 atlet di universiti tempatan,” tambahnya.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *