AHAD, 4 DISEMBER 2022

LUNDU: Komunikasi dua hala antara kerajaan dengan masyarakat berkaitan hal ehwal pentadbiran negara penting khususnya di peringkat akar umbi bagi menjamin penyaluran maklumat secara berkesan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, komunikasi yang berkesan akan mengelakkan kekeliruan terhadap isu-isu setempat di samping mewujudkan pemahaman jelas terutamanya melibatkan aspek pembangunan.

“Sistem pentadbiran dan pengurusan negara termasuk negeri Sarawak ini memerlukan kerajaan bekerjasama dengan rakyat yang melibatkan pemahaman, penerimaan dan sokongan di peringkat akar umbi,” jelasnya ketika merasmikan Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS) Khas di Dewan Serbaguna Kampung Biawak di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik pelaksanaan program KOMTIS Khas anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak itu yang memberikan maklumat kepada masyarakat di sempadan Malaysia-Indonesia khususnya Kampung Biawak mengenai aspek serta isu berkaitan keselamatan dan jenayah.

Billy menambah, setiap masyarakat memainkan peranan utama sebagai mata dan telinga kepada kerajaan terutamanya membabitkan soal kepentingan dan keselamatan di sesuatu kawasan.

“Ini kerana sebarang perlakuan dan tindakan yang mengundang ancaman kepada keselamatan harus dilaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa untuk langkah pencegahan,” tegasnya.

Oleh itu, Bily menegaskan, masyarakat perlu sentiasa menjalinkan hubungan komunikasi yang baik dengan agensi-agensi kerajaan di kawasan masing-masing. 

ADUN Opar itu turut menasihati para hadirin termasuk masyarakat dari kawasan berhampiran sempadan untuk sentiasa berwaspada kerana ia merupakan kawasan panas yang antaranya menjadi laluan utama pencerobohan dan penyeludupan barangan subsidi serta barangan larangan seperti dadah yang mampu merosakkan generasi muda.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Aziz Abdul Rahman, Pegawai Penerangan Daerah Lundu, Juliana Abdullah, Pemanca Allen Manium Enggang dan Ketua Kaum Kampung BIawak, Linang Juki. -Edisi UKAS

add comment