Dato Sri Fadillah Fokus Hal Ehwal Sabah & Sarawak Termasuk MA63

UKAS  > Edisi-Utama >  Dato Sri Fadillah Fokus Hal Ehwal Sabah & Sarawak Termasuk MA63
0 Comments

ISNIN, 5 DISEMBER 2022

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof telah diberi amanah untuk memfokuskan hal ehwal berkaitan Sabah dan Sarawak termasuk penyelarasan beberapa perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberitahu, kebanyakan perkara di bawah MA63 telah diselesaikan, namun masih terdapat beberapa rundingan yang belum ditangani dan ini menimbulkan keresahan daripada pihak Sabah dan Sarawak.

“Dato Sri Fadillah telah ditugaskan untuk memastikan agar perkara-perkara yang masih tersangkut berkenaan MA63 segera ditangani.

“Sekiranya perlu, pemantauan serta cadangan akan dikemukakan supaya penyelarasan di antara persekutuan dan negeri dapat dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarakat Kabinet Pertama Kerajaan Perpaduan di Putrajaya pada Isnin.

Selain itu, Dato’ Seri Anwar turut menyentuh tentang birokrasi yang menyukarkan proses pelaksanaan beberapa perkara di bawah MA63 di peringkat negeri.

“Saya memberi contoh yang dibangkitkan oleh Premier Sarawak iaitu beberapa peraturan sedia ada telah mempersulitkan pelaksanaan di peringkat negeri kerana kelulusan banyak jabatan dan kementerian diperlukan. Hal ini dicadangkan untuk kita tangani dengan segara kerana saya tidak mahu ia berlanjutan.

“Sebab itu, saya memberikan tempoh sebulan untuk memastikan terdapat kemajuan ketara dalam menangani hal ini,” tegasnya.

Perdana Menteri menambah, Dato Sri Fadillah turut diberi bidang kuasa untuk menyelesaikan isu ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar termasuk kawasan pedalaman di kedua-dua negeri.

Dalam pada itu katanya, Timbalan Perdana Menteri itu akan bekerjasama dengan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi bagi menyelaras isu berkenaan. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *