Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Daripada Dato’ Seri Tiong King Sing

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Daripada Dato’ Seri Tiong King Sing
0 Comments

KHAMIS, 15 DISEMBER 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing di Wisma Bapa Malaysia, pada Khamis.

Dato’ Seri Tiong ketika ditemui media memaklumkan kunjungan hormat berkenaan adalah untuk merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kepercayaan yang diberi untuk menggalas jawatannya dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Selain itu katanya, kunjungan beliau itu turut membincangkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam industri pelancongan dan perkara berkaitan.

Jelas Dato’ Seri Tiong, beliau akan memastikan semua pihak dapat bersama-sama meningkatkan industri pelancongan, seni dan budaya di Malaysia termasuk di Sarawak.

“Kita perlu mendapatkan semua orang untuk bekerjasama bagi meningkatkan industri pelancongan kita tanpa pilih kasih.

“Pada masa ini saya tidak dapat menjelaskan lebih lanjut kerana belum mendapat keseluruhan taklimat daripada pelancongan dan sebelum ini hanya perbincangan tentang kementerian sahaja.

“Semua agensi lain lebih kurang 10 agensi di bawah kementerian saya dan taklimat hanya akan bermula minggu hadapan, kemudian barulah kami perincikan selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Seri Tiong juga memberitahu, Sarawak mempunyai kekayaan budaya dan bakat seni untuk dipupuk dan dipromosikan kepada dunia.

Katanya lagi, pihaknya akan mengkaji sekaligus mengadakan lebih banyak perbincangan berkaitan di samping memperjuangkan nasib artis yang kurang bernasib baik (OKU) yang berbakat termasuk golongan seniman dan budayawan bagi membela kebajikan mereka.

“Seperti yang saya katakan, saya belum dapat lagi taklimat kerana golongan OKU juga boleh menyumbang dalam sebahagian cara atau yang lain dan dengan itu kita boleh bersama berbincang dengan pihak persatuan berkaitan bagaimana kita boleh bekerjasama,” ujarnya. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *