Sistem Lampu Isyarat Pintar Akan Dipasang, Tangani Kesesakan Lalu Lintas Kota Samarahan

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Sistem Lampu Isyarat Pintar Akan Dipasang, Tangani Kesesakan Lalu Lintas Kota Samarahan
0 Comments

JUMAAT, 16 DISEMBER 2022

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak sedang melihat pilihan untuk memasang lampu isyarat pintar di bawah projek lampu isyarat Lebuhraya Kuching-Samarahan.

Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS) Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia adalah antara pilihan bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di Kota Samarahan selain daripada Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan sistem Transit Aliran Autonomi (ART).

“Dari segi menangani isu kesesakan lalu lintas, khususnya di Kota Samarahan, kita sedar bahawa kita mesti melihat bukan hanya satu pilihan, tetapi pelbagai penyelesaian yang berdaya maju.

“Ini juga bermakna isu itu perlu ditangani bukan sahaja oleh satu Kementerian, malah pelbagai agensi sama ada di peringkat Negeri dan Persekutuan bekerjasama untuk memastikan penduduk Kota Samarahan dapat terus menikmati kualiti hidup yang baik.

“Saya berbesar hati memaklumkan bahawa Sarawak Metro bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk memastikan sistem lampu isyarat pintar dan sistem ART akan berfungsi dengan lancar untuk manfaat semua penumpang dan pengguna jalan raya pada masa hadapan,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelancaran KUTS Fasa 1 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Jumaat.

Sementara itu, bercakap mengenai projek KUTS, Dato Sri Lee berkata, MOTS bekerjasama rapat dengan Sarawak Metro untuk memastikan projek itu akan mencapai kesemua objektif dan matlamatnya.

Beliau berkata, projek berkenaan merupakan projek yang amat signifikan dan mempunyai potensi dalam menambah baik kualiti hidup rakyat di Kuching.

“Dari segi sistem pengangkutan awam, keselamatan, keselesaan dan kemudahan untuk penumpang adalah antara tumpuan utama MOTS dan ia sentiasa menjadi keutamaan nombor satu kami – keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

“Oleh itu, kami memastikan bahawa kami melihat semua aspek keselamatan untuk Projek KUTS ini, bukan sahaja semasa fasa pembinaan projek tetapi lebih penting lagi semasa fasa operasi.

“Dengan tanggungjawab besar Kementerian saya untuk memastikan kejayaan pelaksanaan Projek KUTS, kami memandang serius semua isu yang berkaitan dengan keselamatan, terutamanya mengenai keadaan trafik bercampur untuk ART pada masa hadapan,”ujar Dato Sri Lee lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak, Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Ahli Parlimen Samarahan Datuk Rubiah Wang, Pengerusi SEDC dan Sarawak Metro Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain serta dif-dif jemputan yang lain.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *