Banjir: Keselamatan, Bekalan Makanan Mangsa Jadi Keutamaan Kerajaan Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Banjir: Keselamatan, Bekalan Makanan Mangsa Jadi Keutamaan Kerajaan Sarawak
0 Comments

AHAD, 25 DISEMBER 2022

KUCHING: Keselamatan serta bekalan makanan untuk mangsa yang terkesan dengan banjir di negeri ini menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak menerusi JPBN Sarawak akan memastikan mangsa-mangsa banjir dipindahkan ke kawasan yang selamat terlebih dahulu.

Tambah beliau, JPBN Sarawak juga akan memastikan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menerima bekalan makanan.

“Kami mahu memastikan bahawa walaupun mereka berdepan dengan kesusahan dan tertekan akibat banjir, kami berharap kami dapat menjadikan kehidupan mereka lebih baik apabila mereka tinggal di PPS ini. Ini yang paling penting.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua jabatan kerajaan dan agensi yang terlibat dalam membantu atas kerja keras mereka dan cukup bertanggungjawab untuk rakyat negeri ini,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Krismas di kediamannya di sini pada Ahad.

Datuk Amar Douglas Uggah juga memberitahu, JPBN Sarawak telah mengaktifkan semula bilik gerakan Negeri pada 23 Disember yang lepas untuk beroperasi 24 jam.

“Kita merayu kepada semua JPBN peringkat Daerah dan Bahagian untuk sentiasa berwaspada sehingga penghujung bulan Februari ini,”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dan kerap kali berlaku banjir untuk sentiasa peka ketika musim tengkujuh.

Selain itu, beliau juga mengingatkan mereka yang merancang untuk pergi bercuti dan melakukan aktiviti terutamanya di kawasan pedalaman untuk berhati-hati pada ketika ini.

“Hubungi penduduk tempatan untuk memastikan kawasan itu selamat atau tidak untuk melakukan aktiviti,” kata Datuk Amar Douglas–Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *