AirAsia Umum Penerbangan Tambahan Istimewa Tambang Rendah Sempena TBC

UKAS  > Edisi-Utama >  AirAsia Umum Penerbangan Tambahan Istimewa Tambang Rendah Sempena TBC
0 Comments

RABU, 28 DISEMBER 2022

SEPANG: AirAsia telah mengumumkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap sempena sambutan Tahun Baharu Cina antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata, kementeriannya menggalakkan syarikat penerbangan lain untuk turut melancarkan inisiatif yang sama atau lain yang boleh mengurangkan tambang penerbangan terutamanya semasa musim perayaan.

“Kami berbesar hati kerana AirAsia terus komited untuk menyokong inisiatif kerajaan untuk menurunkan tambang penerbangan semasa musim perayaan, meskipun terdapat kekangan operasi.

“Walaupun mereka tidak dapat meningkatkan lebih kekerapan penerbangan kerana kekurangan pesawat seperti apa yang dialami oleh semua syarikat penerbangan, kami memuji kerja keras mereka untuk menambah penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap untuk menghubungkan keluarga, terutamanya dari dan ke Sabah dan Sarawak.

“Sempena sambutan tahun baru ini, kami berharap untuk terus bekerjasama dengan pemain industri seperti AirAsia untuk memenuhi keperluan dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya yang dipetik dari kenyataan media AirAsia pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited Bo Lingam memberitahu, sebanyak 25,020 tempat duduk tambahan ke dan dari destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak tersedia untuk tempahan bagi tempoh perayaan akan datang.

“Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kami melakukan yang terbaik untuk menghubungkan para tetamu pada tambang berpatutan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam operasi.

“Beberapa tahun kebelakangan ini adalah amat sukar untuk semua dan walaupun industri perjalanan kini semakin pulih, kami tidak dapat menambah penerbangan seperti sedia kala berikutan pandemik.

“Namun, di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, kami terus berusaha dan komited untuk menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

“Hari ini, kami berbesar hati kerana dapat mengumumkan penerbangan tambahan lewat malam istimewa pada tambang rendah tetap,” ujar beliau.

Para tetamu yang mahu melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri pada hanya RM199* sehala, dan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada hanya RM249* sehala.

Semua tempat duduk akan tersedia untuk tempahan mulai 28 Disember 2022.

Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *