Perkhidmatan Bas Kuching – Singkawang Bakal Beroperasi Tahun Depan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Perkhidmatan Bas Kuching – Singkawang Bakal Beroperasi Tahun Depan
0 Comments

RABU, 28 DISEMBER 2022

LUNDU: Perkhidmatan bas rentas sempadan bagi laluan Kuching, Sarawak dan Singkawang, Indonesia dijangka mula beroperasi pada tahun depan. 

Menurut Menteri Pengangkutan (MOTS) Dato Sri Lee Kim Shin, perkhidmatan bas melalui Imigresen, Kastam, Kuaratin dan Keselamatan (ICQS) Biawak-Aruk (Indonesia) itu akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi. 

“Seterusnya, kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak Indonesia mengenai jumlah perjalanan bas dalam sehari termasuk menyelesaikan beberapa proses lain seperti permohonan permit.

“Pihak kita juga sedang berusaha untuk mempercepatkan semua proses tersebut bagi memastikan perkhidmatan laluan itu akan beroperasi pada tahun hadapan. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Daerah Lundu selepas lawatan kerja rasmi ke ICQS Biawak bagi meninjau persiapan pada Rabu.

Tambahnya, cadangan permulaan daripada persatuan bas tempatan adalah untuk melaksanakan lima perjalanan keluar masuk setiap hari bagi kedua-dua negara berkenaan. 

Mengenai lawatan tersebut, Dato Sri Lee berkata ia bagi memastikan persiapan untuk perkhidmatan laluan tersebut berjalan lancar dan teratur apabila dibuka kelak, sama seperti laluan Kuching-Pontianak yang sudah beroperasi beberapa bulan lalu.

Laluan tersebut juga membolehkan orang ramai pergi ke tiga bandar raya di Indonesia iaitu termasuk Singkawang, Pontianak dan Sambas, berbanding melalui ICQS Tebedu yang hanya melalui Pontianak dan Sangau.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *