AHAD, 15 JANUARI 2023

SRI AMAN: Suasana di Sarawak sememangnya meriah menjelang setiap musim perayaan. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, sudah menjadi kebiasaan untuk masyarakat majmuk di sini menyambut pelbagai perayaan bersama. 

“Ini kerana warga Sarawak dan Malaysia amnya hidup secara aman dan harmoni walaupun berbilang kaum dan agama. 

“Perpaduan ini perlu dikekalkan agar negeri kita ini sentiasa aman dan makmur,” katanya dalam  Majlis Pra Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Pusat Khidmat DUN Lingga bersama Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman di sebuah hotel terkemuka di sini pada Sabtu. 

Dalam pada itu, beliau menaruh harapan agar masyarakat tempatan terus bergerak selari dengan misi dan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menitikberatkan perjuangan hak rakyat negeri ini. 

Turut hadir ialah Penasihat Khas di Pejabat Premier merangkap Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Dato Sri Rohani Abdul Karim, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani dan Temenggung Keuh Ai Seng. -EDISI UKAS

add comment