Perjuangan MA63 Beri Manfaat Menyeluruh Kepada Sarawak

UKAS  > Edisi-Utara >  Perjuangan MA63 Beri Manfaat Menyeluruh Kepada Sarawak
0 Comments

ISNIN, 23 JANUARI 2023

LIMBANG: Kejayaan mendapatkan semula hak-hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan memberi manfaat kepada Sarawak secara menyeluruh. 

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memberitahu, usaha tersebut akan merancakkan lagi aktiviti pembangunan yang dilaksanakan dari kawasan selatan hingga utara Sarawak.  

“Sarawak turut menerima limpahan pembangunan lebih-lebih lagi dengan kepercayaan yang diamanahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof untuk mengetuai Jawatankuasa Teknikal MA63. 

“Beberapa perkara telah dapat dicapai semasa lawatan kerja Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak baru-baru ini. 

“Selepas ini, lebih banyak hak akan dikembalikan seperti yang termaktub dalam perjanjian tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina bersama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang di sekitar Limbang pada Ahad. 

Sementara itu, Datuk Hasbi menaruh harapan agar masyarakat majmuk di negara ini dan Parlimen Limbang khasnya terus maju jaya di samping mengekalkan semangat perpaduan yang utuh. 

“Di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan, saya berharap kerjasama dan perpaduan antara masyarakat majmuk akan dapat dieratkan lagi buat tahun ini dan juga tahun-tahun akan datang,” tambahnya. 

Pada kunjungan Tahun Baru Cina itu, ketiga wakil rakyat bersama isteri masing-masing telah berkunjung ke rumah beberapa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pemimpin persatuan tempatan. 

Hadir sama, Walikota Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Sufian Mohat. -Edisi UKAS 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *