JKR Sarawak Diyakini Mampu Laksana Projek Persekutuan Bawah RM50 Juta

UKAS  > Edisi-Utama >  JKR Sarawak Diyakini Mampu Laksana Projek Persekutuan Bawah RM50 Juta
0 Comments

JUMAAT, 27 JANUARI 2023

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas optimis Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mampu melaksanakan projek persekutuan di bawah kos RM50 juta.

Menurutnya, beliau telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Kuching baru-baru ini bahawa jabatan itu mempunyai pengalaman luas dalam melaksanakan projek berskala besar.

“Saya yakin JKR dapat memikul tugas ini dengan baik walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran terutamanya berkaitan dengan keluasan negeri.

“Tetapi adalah sangat penting untuk kita dapat melaksanakan projek seperti yang telah ditetapkan dan memastikan kualiti setiap projek,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri taklimat JKR mengenai kemajuan pelaksanaan projek khususnya di Bahagian Kapit di Ibu Pejabat JKR, Wisma SABERKAS di sini, pada Jumaat.

Taklimat disampaikan Pengarah JKR Sarawak Ir. Ts Richard Tajan.

Sebelum itu, Datuk Amar Douglas menyempurnakan majlis perasmian Pejabat Direktorat JKR Sarawak yang juga di Wisma Saberkas.

Perdana Menteri pada awal bulan ini mengumumkan Sarawak dan Sabah dibenarkan untuk melaksanakan projek di bawah RM50 juta tanpa perlu merujuk kepada Putrajaya.

Autonomi ini secara langsung menghapuskan birokrasi dan kelewatan projek.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menggesa untuk menilai Prosedur Operasi Standard (SOP), sistem, tenaga kerja dan langkah pelaksanaan bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau turut berpuas hati dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) JKR Sarawak iaitu ‘Sifar Projek Sakit’ dan berharap ia mampu membawa imej baharu dan positif kepada jabatan itu pada tahun ini. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *