Pendidikan Awal Berkualiti Asas Pembangunan Insan Generasi Kelas Pertama

UKAS  > Edisi-Utara >  Pendidikan Awal Berkualiti Asas Pembangunan Insan Generasi Kelas Pertama
0 Comments

JUMAAT, 27 JANUARI 2023

BINTULU: Pendidikan awal yang berkualiti kepada kanak-kanak merupakan asas kepada pembangunan insan ke arah melahirkan generasi kelas pertama.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, kejayaan masa depan kanak-kanak adalah bergantung kepada kualiti pendidikan awal yang diterima.

“Anak-anak merupakan aset negara yang paling bernilai dan perlu dibangunkan mengikut acuan negara kita sendiri.

“Ibu bapa, guru-guru dan persekitaran turut memainkan peranan yang penting dalam perkembangan sahsiah dan pembangunan potensi anak-anak,” katanya melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Khas beliau Steven Kong Kai Seng dalam Program Pintar Kreatif Dan Konvokesyen Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu 2022 di sini pada Khamis.

Beliau menambah, perkembangan seseorang kanak-kanak adalah bermula dari rumah sebelum mereka melangkah ke arah alam persekolahan seawal usia empat hingga enam tahun.

“Justeru, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam memastikan pembangunan murid yang holistik merangkumi aspek jasmani, emosi, intelek, sosial, dan rohani dalam persekitaran pembelajaran yang konduksif dan interaktif.

“Jadi saya berharap tabika perpaduan dapat melahirkan dan membentuk murid yang mempunyai semangat cintakan negara dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka,” jelasnya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak, Dirwani Azool dan Pegawai Perpaduan Bahagian Bintulu Diana Seliman.- EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *