Nilai Pendapatan Sarawak Tahun 2022 Akan Diumum Minggu Depan

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Nilai Pendapatan Sarawak Tahun 2022 Akan Diumum Minggu Depan
0 Comments

SABTU, 28 JANUARI 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan nilai pendapatan yang direkodkan sepanjang tahun lepas pada minggu hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, hasil keseluruhan pendapatan itu akan diumumkan selepas mesyuarat Kabinet Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan bahawa jumlah pendapatan Sarawak sehingga Disember 2022 adalah dua kali ganda berbanding dengan hasil empat tahun yang lepas.

“Jumlah pendapatan kita sehingga Disember 2022 sekiranya dibandingkan dengan jumlah pada empat tahun yang lepas adalah dua kali ganda.

“Hasil pendapatan kita tiada lagi satu digit, memang dua digit sekarang ini. Saya akan umum pada minggu hadapan, selepas saya maklumkan kepada rakan kabinet saya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sekalung Budi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada malam Sabtu.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, beliau optimis nilai pendapatan Sarawak itu juga akan terus mencatatkan pertambahan pada tahun mendatang.

Justeru Premier Sarawak berkata, dengan hasil pendapatan yang sentiasa meningkat itu, beliau percaya Sarawak akan berjaya mencapai visi menjadi negeri maju pada tahun 2030.

Hadir sama isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak dan dif-dif jemputan yang lain.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *