Projek Pembangunan Bawah RM50 Juta Bantu Memakmurkan Sarawak

UKAS  > Edisi-Utara >  Projek Pembangunan Bawah RM50 Juta Bantu Memakmurkan Sarawak
0 Comments

AHAD, 29 JANUARI 2023

SEBAUH: Pelaksanaan projek pembangunan bernilai bawah RM50 juta akan membantu dalam memakmurkan Sarawak, sekaligus membolehkan negeri ini membangun secara lebih progresif pada masa depan.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada awal Januari ini mengumumkan bahawa Sarawak dan Sabah dibenarkan untuk melaksanakan projek di bawah RM50 juta tanpa perlu merujuk kepada Putrajaya.

Jelasnya, langkah ini merupakan satu perkembangan baik buat pembangunan di kedua-dua negeri.

“Perdana Menteri telah memberikan kuasa bagi meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak.

“Perkara ini mempercepatkan lagi proses pelaksanaan sesebuah projek pembangunan dan mengurangkan isu birokrasi serta kelewatan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran Pelantikan Sebagai Menteri di Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh pada Sabtu.

Sementara itu, Dato Sri Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, dengan adanya lima menteri penuh dari negeri ini termasuk beliau sendiri, ia akan membolehkan suara rakyat Sarawak lebih didengar di peringkat persekutuan , sekaligus membolehkan projek pembangunan dirancang dan dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM10,000 lagi untuk Biro Wanita dari Rumah Raymond.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti dan Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *