Pembangunan Infrastruktur Tingkatkan Taraf Hidup Penduduk

UKAS  > Edisi-Utara >  Pembangunan Infrastruktur Tingkatkan Taraf Hidup Penduduk
0 Comments

AHAD, 29 JANUARI 2023

SEBAUH: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing bertekad untuk meneruskan agenda pembangunan bagi meningkatkan tahap prasarana serta infrastruktur di negeri ini demi menaik taraf hidup masyarakat tempatan.

Menurutnya, ia termasuk jaringan jalan raya, bekalan elektrik dan air serta jaringan telekomunikasi.

“Saya kerap menerima aduan berhubung jaringan telekomunikasi yang lemah khususnya di kawsan luar bandar.

“Oleh itu, kerajaan akan memastikan mutu perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini akan terus ditambah baik dari masa ke masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran Pelantikan Sebagai Menteri di Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh pada Sabtu.

Ahli Parlimen Bintulu itu menambah, program inap desa turut akan dimajukan di Sarawak khususnya di rumah panjang kerana ia dijangka mampu menjana pendapatan lumayan buat para pengusaha.

Pada program tersebut, Tiong turut mengumumkan geran bantuan sebanyak RM30,000 buat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Raymond.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti dan Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *