MBKS Anjur Konsert ‘Chap Goh Mei’ 2023 Pada 4 Februari Ini

UKAS  > Edisi-Selatan >  MBKS Anjur Konsert ‘Chap Goh Mei’ 2023 Pada 4 Februari Ini
0 Comments

ISNIN, 30 JANUARI 2023

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bakal menganjurkan Konsert ‘Chap Goh Mei’ 2023 bertempat di Lake Theatre, Kuching Park di MBKS pada 4 Februari ini.

Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng berkata, konsert ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan sasaran sekitar 3,000 ke 5,000 pengunjung.

“Acara sedemikian dapat mengeratkan hubungan antara keluarga dan rakan-rakan apabila digunakan sebagai peluang untuk berkumpul bersama menyaksikan pelbagai persembahan yang disediakan.

“MBKS amat komited untuk mengadakan lebih banyak program yang melibatkan komuniti setempat pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media Konsert Chap Goh Mei MBKS 2023 di Kuching pada Isnin.

Beliau menaruh harapan agar program sedemikian dapat memberi makna dalam keadaan masyarakat bersama-sama menyambut Chap Goh Mei dalam suasana yang harmoni dan aman.

Selain persembahan muzikal, persembahan kebudayaan Cina juga diadakan seperti perarakan tanglung, tarian naga dan singa manakala pelbagai gerai makanan turut disediakan.

Konsert ini dijadualkan bermula pada jam 7.30 malam di mana ia bakal mempersembahkan nyanyian daripada artis jemputan seperti Angeline, Vic, Han Xiiao Aii, Mingren, Faye, Rom, Drew2, Joseph N dan diserikan lagi oleh penampilan khas MY DJ- Chris & Addy dari MY fm. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *