Kemudahan Senaman, Taman Permainan Kanak-Kanak Di Dataran Kipas Miri Sedia Diguna Penduduk Sekitar

UKAS  > Edisi-Utara >  Kemudahan Senaman, Taman Permainan Kanak-Kanak Di Dataran Kipas Miri Sedia Diguna Penduduk Sekitar
0 Comments

JUMAAT, 3 FEBRUARI 2023

MIRI: Projek membina peralatan kecergasan dan menaik taraf taman permainan kanak-kanak di Dataran Kipas Miri telah siap sepenuhnya pada 28 Disember 2022.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, projek tersebut adalah dibawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau yang menelan kos berjumlah RM200,000 untuk pembinaannya.

Beliau berharap, penyediaan kemudahan tersebut akan menggalak penduduk sekitar untuk meluangkan masa bersenam dan beriadah bersama keluarga mereka.

“Kemudahan ini adalah bagus untuk meluangkan masa bersama keluarga terutamanya di taman perumahan. Apabila mereka keluar dari rumah, mereka sudah mempunyai tempat untuk membawa anak atau cucu mereka bermain malah untuk diri sendiri.

“Kita harus membuat pelaburan untuk kesihatan kita. Apabila saya mengatakan pelaburan ia bukan dari segi duit, tetapi yang paling penting ialah masa untuk bersenam. Itu yang sangat penting,”katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan ke tapak projek berkenaan pada Jumaat.

Datuk Sebastian Ting memberitahu, projek berkenaan telah mula dilaksanakan bermula 28 September dan ia akan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang akan bertanggungjawab untuk kerja-kerja penyelenggaraan taman ini.

Sejurus selepas itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu bersama Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang telah meninjau projek menaiktaraf sistem pengairan dan perparitan di Jalan Piasau Jaya 3F.

Beliau memberitahu, projek berkenaan menelan kos berjumlah RM 400,000 tersebut adalah bagi mengatasi insiden banjir kilat yang berlaku di situ.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *