Sukan Rakyat Medium Erat Hubungan Masyarakat

UKAS  > Edisi-Tengah >  Sukan Rakyat Medium Erat Hubungan Masyarakat
0 Comments

AHAD, 5 FEBRUARI 2023

SARIKEI: Sukan Rakyat merupakan salah satu medium bagi masyarakat setempat untuk mengukuhkan silaturahim, kerjasama dan hiburan yang amat baik dalam kehidupan berkomuniti pelbagai bangsa dan agama.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab yang hadir merasmikan dan menyampaikan hadiah kepada peserta Sukan Rakyat di Taman Susur Jambu di sini berkata acara sebegini sememangnya satu aktiviti yang cukup baik dan perlu diteruskan.

Katanya, aktiviti ini dapat memberi peluang kepada masyarakat yang pelbagai Kaum dan Agama berjumpa dan berinteraksi sesama sendiri.

Sukan Rakyat ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Taman Susur Jambu pada Ahad dan mendapat sokongan dari Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis.

Pelbagai acara sukaneka dan pertandingan telah diadakan sepanjang ia berlangsung bertempat di Gelanggang Bola Keranjang dan Padang Bolasepak Taman Susur Jambu.

Turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak berumur 10 tahun kebawah yang bertemakan Tahun Baru Cina.

Ditanya mengenai Bajet 2023 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat hujung bulan ini, Ir Yusuf berharap Sarawak akan mendapat lebih banyak peruntukan dari sebelum ini kerana faktor keluasan negeri serta pembangunan kawasan luar bandar yang lebih drastik agar tidak ketinggalan dalam aspek pembangunan berbanding dengan kawasan bandar.

Selain itu, beliau juga berharap agar bantuan-bantuan rakyat yang sedia ada diteruskan malah harus ditambahbaik kerana keperluan kehidupan kini lebih mencabar dalam keadaan ekonomi negara yang masih belum stabil serta tidak menentu. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *