Pembangunan Belaga Tuntut Perpaduan, Kerjasama Erat Semua Masyarakat

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pembangunan Belaga Tuntut Perpaduan, Kerjasama Erat Semua Masyarakat
0 Comments

AHAD, 5 FEBRUARI 2023

BELAGA: Rakyat di Belaga diminta agar sentiasa bekerja sama bagi menjayakan pembangunan di daerah itu.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata usaha untuk membangunkan daerah itu tidak dapat dikerjakan sendiri oleh Pegawai Daerah atau Ahli Parlimen di situ.

Sebaliknya jelas beliau, ia memerlukan adunan perpaduan dan kerjasama yang erat antara semua masyarakat di situ.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Perkarangan Pasar Belaga pada Ahad.

Menurutnya, sambutan Tahun Baru Cina kali ini amat bertuah di mana negara ini dipimpin di peringkat persekutuan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Perpaduan ini tidak merupakan perkara yang baru bagi kita di Belaga. Kita telah mengamalkan perpaduan sejak dulu kala.

“Tidak mengira apa kaum sekalipun di Belaga, tidak mengira anutan kita, kita dapat duduk bersama dan kita dapat hidup bersama. Terima kasih kepada masyarakat Belaga,” katanya lagi.

Beliau juga sempat berterima kasih kepada para pengundi di Pekan Belaga yang telah memberikan sokongan padu baik semasa Pilihan Raya Negeri mahupun pada Pilihan Raya Umum yang lepas.

Katanya, mandat itu membeolehkan kawasan Belaga memiliki dua Timbalan Menteri, satu di peringkat negeri dan satu di peringkat persekutuan.

Pada majlis tersebut, Datuk Liwan telah menyerahkan sedikit bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasar Belaga berjumlah RM10,000 untuk penganjuran majlis tersebut. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *