Daerah Limbang Dibangun Sebagai Kawasan Tumpuan Pelancong

UKAS  > Edisi-Utara >  Daerah Limbang Dibangun Sebagai Kawasan Tumpuan Pelancong
0 Comments

AHAD, 12 FEBRUARI 2023

LIMBANG: Daerah Limbang akan terus diperkembangkan terutamanya dari aspek pelancongan bagi menarik lebih ramai orang ke situ.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memberitahu, Majlis Daerah Limbang telah mengenalpasti sekitar 17 kawasan di daerah itu yang boleh dibangunkan sebagai kawasan tumpuan pelancong.

Jelasnya, ini berikutan kedudukan strategik daerah Limbang yang bersempadan dengan beberapa lokasi antarabangsa (Malaysia-Brunei Darussalam & Malaysia-Indonesia), negeri (Sarawak-Sabah & Sarawak-Wilayah Persekutuan Labuan) dan juga daerah (Limbang-Lawas & Limbang-Miri).

“Jadi, daerah Limbang berada di tengah-tengah seperti sebuah pulau di mana pelancong antarabangsa boleh masuk melalui Brunei dan pulang melalui Miri atau Sabah.

“Sebagai contoh, satu potensi pelancongan yang dilihat boleh menandingi Gunung Mulu ialah Gunung Buda yang mempunyai gua yang sangat besar.

“Ia belum lagi dibuka sepenuhnya kepada orang umum. Kerajaan sedang membina jalan ke gunung tersebut,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di Dewan Suarah Limbang pada malam Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah, sebuah esplanade sepanjang 1.8 kilometer (km) iaitu esplanade terpanjang di Sarawak juga kini sedang dibina di bandar Limbang sebagai pusat tumpuan pelancong.

“Selain itu, Kerajaan Sarawak juga akan membina Esplanade Medamit dan Projek Esplanade di Rangau iaitu berhadapan dengan Integrated Administrative Centre (IAC) Limbang.

“Manakala, kerajaan turut sedang menambah tempat letak kenderaan di Taman Awam Limbang iaitu bersebelahan dengan Limbang Plaza atau kawasan Padang LDC.

“Kemudahan tersebut mampu memuatkan lebih 200 buah kenderaan dan kita bercadang untuk menempatkan tamu di kawasan ini pada Khamis dan juga Jumaat,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menaruh keyakinan terhadap komitmen pucuk pimpinan tertinggi Kerajaan Sarawak terutamanya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memastikan kesemua projek berkaitan dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr Abdul Rahman turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk penganjuran Majlis Sambutan Tahun Baru Cina itu.

Hadir sama, Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Sarawak Dato Richard Wee Liang Chiat, Pemangku Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang Dato’ Wong King Hoong, Presiden Kehormat Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang Pemanca Leong Boong Ming, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2023 Kapitan Kong Foh Liem dan wakil Residen Bahagian Limbang Cherylynna Leeza Roland. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *