Agong Titah Kerajaan Pergiat Usaha Bangun, Perkasa Ekonomi Di Sabah & Sarawak

UKAS  > Edisi-Utama >  Agong Titah Kerajaan Pergiat Usaha Bangun, Perkasa Ekonomi Di Sabah & Sarawak
0 Comments

ISNIN, 13 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan terus mempergiatkan usaha membangun dan memperkasakan ekonomi negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pembangunan kompleks mahkamah di Sabah dan Sarawak wajar diberi perhatian bagi memperkasa pentadbiran undang-undang.

Selain itu titah baginda, infrastruktur berkualiti dan perhubungan akses luar bandar akan ditingkat menerusi pembinaan jalan luar bandar, jambatan, utiliti, bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kediaman yang lebih baik.

“Jurang ekonomi semua etnik termasuk orang asli akan terus ditangani bagi melahirkan masyarakat desa yang berdaya tahan dan berdaya saing.

“Tidak ketinggalan juga, dasar perlindungan sosial akan disusun semula bagi memastikan jaminan keselamatan dan perlindungan sosial yang lebih komprehensif dan bersepadu kepada rakyat Beta.

“Majlis Perlindungan Sosial Malaysia akan dimantapkan peranannya bagi memberi dimensi baharu kepada landskap pelindungan sosial di Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, pada Isnin. 

Dalam masa sama, Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa kerajaan telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada kerajaan Sabah mengiktirafkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknik, menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak adalah antara yang telah diputus dan dipersetujui oleh kerajaan Beta,”titah baginda lagi.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *