Masalah Bumbung Bocor Di Gelanggang Bola Keranjang Bintulu Diselesaikan

UKAS  > Edisi-Utara >  Masalah Bumbung Bocor Di Gelanggang Bola Keranjang Bintulu Diselesaikan
0 Comments

ISNIN, 13 FEBRUARI 2023

BINTULU: Masalah bumbung bocor di Gelanggang Bola Keranjang Bintulu telah diselesaikan atas bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Johnny Pang Leong Ming.

Beliau menggunapakai peruntukan dari Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk membaik pulih bahagian bumbung stadium yang telah bocor yang mengakibatkan kerosakan lantai gelanggang.

Johnny berkata Jawatankuasa Persatuan Bola Keranjang Bintulu telah berjumpa dengan beliau dan memaklumkan kekangan yang dihadapi mereka untuk menganjurkan pertandingan kerana keadaan stadium yang semakin uzur.

“Saya difahamkan keadaan lantai gelanggang yang kurang memuaskan telah menjejaskan program latihan para pemain dan peminat bola keranjang juga kurang berminat untuk bermain di gelanggang yang akan membawa kecederaan.

“Salah satu manifesto saya sebagai wakil rakyat adalah untuk menaiktaraf prasarana sukan bagi manfaat seluruh warga Bintulu dan saya akan terus berusaha untuk merealisasikan manifesto saya,” katanya semasa ditemui media di Bintulu pada Ahad.

Beliau turut berharap agar Persatuan Bola Keranjang Bintulu lebih aktif dalam menganjurkan pelbagai program dan pertandingan, bukan sahaja untuk mencungkil bakat malah untuk meningkatkan lagi tahap serta kemahiran para pemain tempatan.

“Memandangkan bumbung telah dibaiki dan masalah takungan air di gelanggang telah diatasi, saya berharap para peminat bola keranjang dapatlah sama-sama menjaga kualiti stadium di samping menggunapakai gelanggang ini demi manfaat seluruh warga,” ujarnya.

Hadir sama Pegawai Tadbir (Bahagian Pembangunan Pejabat Residen Bintulu) Mohd Amirul Valentine Laiseh, Penolong Jurutera JKR Ngu Tie Hwa dan Presiden Persatuan Bola Keranjang Bintulu Hii Sing Kee. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *