TYT Sarawak & Isteri Masing-Masing Derma USD100,000 Kepada Mangsa Gempa Bumi Syria Dan Turki

UKAS  > Edisi-Utama >  TYT Sarawak & Isteri Masing-Masing Derma USD100,000 Kepada Mangsa Gempa Bumi Syria Dan Turki
0 Comments

SELASA, 14 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib masing-masing menderma USD100,000 kepada mangsa gempa bumi di Syria dan Turki.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Setiausaha Sulit Kanan Kepada TYT Sarawak, Datu Haji Mustapa Han kepada Timbalan Ketua Misi Turki di Kuala Lumpur, Sinan Cem Bas di Kedutaan Turki dan Syria’s Charge de ’Affair to Malaysia, Mohd Ghiath Ibrahim di Kedutaan Syria, di sini pada Selasa.

Tun Pehin Sri Abdul Taib dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad turut menyampaikan ucapan takziah kepada kedua negara yang kehilangan beribu nyawa rakyat termasuk mereka yang masih hilang.

“Bagi pihak rakyat Sarawak, saya ingin memohon rahmat Allah S.A.W untuk memberikan penghiburan kepada yang berduka.

“Walaupun berjauhan secara fizikal tetapi kami bersatu dalam doa untuk kedua pihak kerajaan dan rakyat terlibat dalam masa yang mencabar ini,” katanya.

Tun Pehin Sri Abdul Taib turut menekankan bahawa beliau akan terus mendoakan kesejahteraan kedua negara dan mereka yang terkesan daripada gempa bumi berkenaan.

“Sekali lagi, kami mengucapkan takziah kepada kedua negara dan rakyat anda atas kehilangan yang begitu besar dan pada masa yang sama, kami mengharapkan keajaiban untuk mereka yang masih hilang akan ditemui,” tambah beliau.

Untuk rekod, dalam gempa bumi pada 6 Februari lepas yang berukuran 7.8 dan 7.5 pada skala richter masing-masing melanda selatan Turki dan utara Syria telah memusnahkan beribu rumah termasuk bangunan serta mencederakan puluhan ribu orang.

Dilaporkan bahawa angka kematian di Turki telah mencecah lebih 30,000 manakala di Syria merekodkan lebih daripada 3,000. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *