Kaul Mukah Kembali Temui Peminat April Ini

UKAS  > Edisi-Tengah >  Kaul Mukah Kembali Temui Peminat April Ini
0 Comments

RABU, 15 FEBRUARI 2023

MUKAH: Acara ikonik kaum Melanau, Kaul Mukah kembali menemui peminat tahun ini dan akan dianjurkan pada 26 April hingga 1 Mei 2023.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Kaul Mukah 2023 selepas bermesyuarat pada Rabu bagi membincangkan mengenai penganjuran pesta tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi Persatuan Melanau Mukah, Abdul Yakub Arbi, pihak juga memutuskan penganjuran Kaul Serahang Kakan diadakan pada 11 Mac 2023.

“Ini adalah untuk memberi peluang kepada semua penduduk tempatan dan pelancong luar untuk menyertai Kaul Mukah 2023 dan Kaul Serahang Kakan.

“Tema Kaul Mukah 2023 ialah Tiada Seuniknya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaul Mukah 2023 di Mukah pada Rabu.

Hadir sama ADUN Tellian Royston Valentine, Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili serta Ketua-ketua Jabatan.

Abdul Yakub yang juga Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak menambah pelbagai aktiviti disediakan sepanjang penganjuran Kaul Mukah kali ini untuk tatapan pengunjung tempatan mahupun dari luar.

Antaranya Keman Kaul, Teluwaih Jinih, Bidar Lukut, Bengkel Serahang Kakan, Pertandingan Tibow, Iseik a Melanau, Sukan Rakyat dan banyak lagi.

Katanya, maklumat selanjutnya dan sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan pihak urusetia di Persatuan Melanau Mukah di talian 084871785.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadual merasmikan Kaul Mukah 2023 pada 29 April. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *