Pendidikan Kini Berteraskan Digital

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pendidikan Kini Berteraskan Digital
0 Comments

RABU, 15 FEBRUARI 2023

BETONG: Kaedah pembelajaran secara tradisional di sekolah kini telah beralih ke arah digital rentetan kaedah pembelajaran semasa tempoh PKP beberapa tahun yang lepas. 

Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, dunia pendidikan telah banyak berubah daripada pembelajaran secara tradisional ke arah digital.

Beliau berkata, “Dunia masa depan adalah ekonomi digital dan ekonomi hidrogen yang selari dengan aspirasi dan polisi kerajaan Sarawak. 

“Oleh itu, pelajar diseru untuk memandang ke arah bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM),” ujarnya ketika berucap di Hari Kecemerlangan dan Graduasi Prasekolah SK St Bartholomew sesi 2022/2023 pada Rabu. 

Tambah Dato Gerald, para guru di sekolah juga bersama-sama berusaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam pendekatan digital untuk menarik minat pelajar. 

“Suasana akan menjadi lebih kondusif di dalam meningkatkan prestasi pelajar. 

“Anak-anak ini adalah umpama span yang sedia menyerap air, ilmu yang dicurahkan adalah umpama air yang akan diserap oleh mereka,” tambahnya.

Namun begitu tegasnya, kemahiran insaniah (soft skill) di dalam diri pelajar tidak boleh diketepikan kerana ianya adalah kemahiran-kemahiran asas seperti mengikat tali kasut, memasak dan lain-lain. 

“Hal ini lebih menjadi peranan ibu bapa. Sebagai contoh, bawalah anak-anak pergi ke kebun atau hutan di dalam mempelajari pelbagai kemahiran dan menerokai alam kerana soft skill adalah penting di dalam kehidupan mereka kelak,” katanya lagi.

Tambah Dato Gerald, pendidikan bukan hanya tanggungjawab pihak sekolah atau guru semata-mata sebaliknya ibu bapa dan komuniti setempat juga harus memainkan peranan aktif. 

Dalam majlis itu, Dato Gerald mengumumkan peruntukan RM20,000 untuk Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) sekolah ini bagi menampung sebahagian kerja-kerja baikpulih prasarana sekolah. 

Beliau juga berharap agar para pelajar di sekolah ini berjaya dalam pendidikan masing-masing dan menyumbang kepada negeri Sarawak satu hari kelak.

“Semoga para guru semakin berkemahiran dan berilmu dan para ibu bapa akan lebih bertanggungjawab dan komited di dalam pendidikan anak-anak mereka.

“Saya selaku wakil rakyat juga akan memberi sokongan sedaya upaya.”

Turut hadir Guru Besar SK St Bartholomew Britt Martin Gana, Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Betong Sandra Annie Sebie dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan N36 Layar Paul Langgang. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *