Pengajar Perlu Lakukan Anjakan Paradigma Dalam Sistem Pembelajaran

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pengajar Perlu Lakukan Anjakan Paradigma Dalam Sistem Pembelajaran
0 Comments

RABU, 15 FEBRUARI 2023

SIBU: Para pengajar perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif dan inovatif khususnya pelajar yang mementingkan kemahiran. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek menjelaskan seorang pendidik mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan agar menjadi contoh kepada yang lain. 

“Seperti yang kita semua sedia maklum, pelajar merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. 

“Jadi pengasuhan, bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah amat penting.

“Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai. Malahan pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian dan kemahiran insaniah juga adalah perlu diberi perhatian yang sama berat,” katanya berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akedemi 2022/2023 di Hotel Kingwood, Sibu pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau percaya sambutan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik itu adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. 

“Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. 

“Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan,” tambahnya.

Terdahulu, beliau telah menyampaikan lima anugerah terbahagi kepada anugerah murid (kecemerlangan akedemi), anugerah guru, anugerah sekolah, anugerah peperiksaan awam dan anugerah khas.

Jumlah keseluruhan penerima anugerah ialah sebanyak 122 buah sekolah, 427 orang murid dan 505 orang dari sekolah daerah Sibu. 

Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Daerah Sibu Omar Mahli, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) Siti Mariam Abdul Rahman, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran) Pejabat Pendidikan Daerah Sibu Wong Siew Meng serta tetamu lain.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *