Beberapa Bangunan Pendidikan Di Mukah Perlu Dibaikpulih, Dibina Baru

UKAS  > Edisi-Tengah >  Beberapa Bangunan Pendidikan Di Mukah Perlu Dibaikpulih, Dibina Baru
0 Comments

RABU, 15 FEBRUARI 2023

MUKAH: Beberapa struktur bangunan pendidikan di Mukah perlu mendapat perhatian kerajaan untuk dibaik pulih dan dibina baru.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, salah satunya adalah bangunan tabika di Kampung Petanak Hilir yang dalam keadaan tidak selesa dan berisiko keselamatan.

“Kita telah membuat perbincangan dengan Pejabat Daerah dan JKKK dan cadangan adalah untuk bina baru dan menjadi bangunan gunasama untuk keperluan masyarakat setempat. 

“Kita harap ianya mendapat sokongan JKKK dan komuniti untuk agenda pembangunan pendidikan,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi kanak-kanak Tabika KEMAS Parlimen Mukah Sesi 2022/2023 pada Selasa.

Katanya, pendidikan awal di peringkat KEMAS sangat penting kepada anak-anak sebelum melangkah ke sekolah rendah yang akan menentukan masa depan mereka. 

Malah guru-guru KEMAS katanya telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam mendidik murid-murid hingga membuahkan hasil yang terbaik.

Justeru, Royston melihat kewujudan KEMAS masih relevan dan penting dalam institusi pendidikan awal anak-anak.

“Antara elemen penting juga untuk kanak-kanak adalah persekitaran yang menggalakkan anak-anak belajar. Suanana yang bagus, pendidik dan  suasana yang baik, pembelajaran dan pengajaran itu melancarkan lagi proses tersebut. 

“Memberi pengalaman dan perasaan yang gembira dalam proses pendidikan awal kanak-kanak,” ujarnya lagi. 

Beliau dalam pada itu menyeru kepada ibu bapa agar memainkan peranan secara proaktif mendidik anak-anak terutamanya dalam membina sahsiah diri dan mengelak mereka dari terjebak dari gejala sosial.

Sementara itu, wakil Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Peggy Ann Iba Matu dalam ucapan aluannya memuji inisiatif dilaksanakan ADUN Tellian dengan membentuk biro pendidikan Mukah yang merangkumi pendidikan, dan kokurikulum. 

Katanya, biro ini telah dilancarkan September tahun lepas dan ia akan bermula bulan Mac ini semasa sesi persekolahan dibuka. 

Tambahnya, Royston telah menyewa premis untuk keperluan biro tersebut yang menyediakan program khas kelas tuisyen percuma, kepada anak-anak yang perlu dibantu khasnya golongan B40. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *