RM150,000 Diluluskan Bagi Naik Taraf Dewan SK Nangar, Daro

UKAS  > Edisi-Tengah >  RM150,000 Diluluskan Bagi Naik Taraf Dewan SK Nangar, Daro
0 Comments

KHAMIS, 16 FEBRUARI 2023

DARO: Peruntukan sebanyak RM150,000 diluluskan bagi menaik taraf Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Nangar di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, peruntukan yang diluluskan itu adalah di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2023.

“Menerusi peruntukan ini, ia akan memastikan kerja-kerja naik taraf dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian emasa merasmikan Majlis Khatamal Al-Quran & Anugerah Pelajar Cemerlang Sesi 2022/2023 SK Nangar, Daro pada Rabu.

Dalam pada itu, Safiee memberitahu, kerajaan Sarawak sentiasa prihatin untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif di negeri ini walaupun bidang kuasanya pendidikan adalah di bawah kuasa kerajaan Persekutuan.

Katanya, pihak kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan persekolahan dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM8,000 kepada Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) SK Nangar.

Sementara itu, pada sebelah petang, Safiee sempat meluangkan masa merasmikan Majlis Graduasi Tahun 6 & Penyampaian Sijil Tamat Sekolah 2023, SK Ulu Daro.

Dalam majlis tersebut, beliau telah menyaksikan upacara serah tapak projek naik taraf Dewan SK Ulu Daro daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Matu Daro, selaku agensi pelaksana Projek RTP kepada pihak kontraktor.

Projek menaik taraf dewan ini akan dilaksanakan dalam tempoh empat bulan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *