Datuk Ding Fokus Pembangunan Prasarana Sekolah Di Meradong

UKAS  > Edisi-Tengah >  Datuk Ding Fokus Pembangunan Prasarana Sekolah Di Meradong
0 Comments

JUMAAT, 17 FEBRUARI 2023

MERADONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berjanji akan meneruskan agenda pembangunan prasarana sekolah di konstituensinya.

Menurut beliau, usaha itu sangat penting untuk dilaksanakan demi memastikan pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti dan sempurna.

Katanya, ia dapat dilakukan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang disalurkan Kerajaan Sarawak kepada wakil rakyat setiap tahun.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga prihatin dengan memperuntukkan geran di bawah Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) bagi membaikpulih kediaman yang usang.

Datuk Ding berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Apresiasi, Graduasi Dan Penyampaian Hadiah SJK (c) Yong Kwong Sesi 2022 / 2023 pada Khamis.

Menjelas lanjut, beliau berkata majlis itu sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada murid yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta peringatan kepada pelajar lepasan Darjah Enam.

Beliau juga yakin SJK (c) Yong Kwong akan melahirkan lebih ramai anak didik yang berketrampilan dan bersahsiah terpuji agar terus meraih kecemerlangan dari aspek kokurikulum dan akademik.

Di hujung ucapannya, beliau mengumumkan sumbangan MRP bernilai RM5,000 kepada PIBG SJK (c) Yong Kwong.

Terdahulu, semasa merasmikan Majlis Anugerah Dan Majlis Graduasi SJK (c) Min Daik Sesi 2022/2023, Datuk Ding menyeru semua pelajar agar berani bermimpi untuk mengejar impian yang mereka sasarkan dalam kehidupan.

Justeru tegasnya, pelajar perlu memiliki ilmu dan kepandaian untuk memastikan apa yang mereka impikan itu menjadi realiti.

Beliau juga mengumumkan berita baik apabila Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan pembinaan Kolam Renang Daerah Meradong.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan MRP bernilai RM10,000 kepada YDP PIBG SJK (c) untuk menaiktaraf prasarana Stadium Bola Keranjang Sekolah. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *