SABTU, 18 FEBRUARI 2023

BELAWAI: Biro Pendidikan N41 Kuala Rajang memperuntukkan sebanyak RM400,000 setiap tahun bagi membantu mana-mana pelajar di kawasan itu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi samada matrikulasi, diploma, ijazah atau lebih tinggi.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata bantuan ini bertujuan meringankan kos para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke peringkat pendidikan tinggi.

Beliau berkata demikian pada majlis Graduasi dan Aspresiasi SK Abang Gesa Belawai serta penyampaian hadiah kepada para pelajar atas pencapaian sepanjang tahun ini pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu turut mengambil contoh beberapa individu ternama dunia yang bermula dengan kegagalan namun akhirnya berjaya memperolehi kejayaan kerana kekuatan mental yang tinggi dan tidak mudah putus ada dalam apa jua yang diceburi sebagai motivasi yang harus dicontohi oleh para pelajar.

“Tidak dinafikan ada pelajar yang kurang dalam akademik namun ianya bukan penghalang untuk berjaya kerana masih banyak lagi pilihan yang dapat diceburi termasuklah pendidikan teknikal.

“Kerajaan Sarawak telah berkolaborasi dengan universiti ternama dunia dengan menubuhkan banyak institusi seperti Kolej Laila Taib, CENTEXS, Swinburne, Curtin dan banyak lagi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri,” tambah beliau lagi.

Sehbuungan itu, beliau menyeru kepada para pelajar untuk mengambil peluang yang disediakan agar dapat mencapai impian mereka dan sekaligus mengubah kehidupan diri dan keluarga.

Tegasnya, kerjasama dan komitmen dari para ibu bapa juga penting dalam memberi galakan serta sokongan kepada anak-anak agar terus minat untuk belajar.

Hadir sama pada majlis ialah Timbalan PPD Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Daro Junaidi Mohamed, warga pendidik SK Abang Gesa, Ketua-ketua Kaum, ibu bapa dan pelajar. – EDISI UKAS

add comment