PMNS Rancang Perkasa Sukan Muaythai Di Kapit

UKAS  > Edisi-Tengah >  PMNS Rancang Perkasa Sukan Muaythai Di Kapit
0 Comments

SABTU, 18 FEBRUARI 2023

KAPIT: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) merancang untuk mewujudkan program khas secara komprehensif bagi membangunkan sukan muaythai di Bahagian Kapit.

Menurut Presiden PMNS Haji Jumaat Ibrahim, selepas pihaknya melihat potensi besar Kapit untuk melahirkan ramai atlet muaythai yang mampu menyinar di masa hadapan jika mendapat latihan secara intensif.

Bagi tujuan itu, beliau akan berbincang dengan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Saberkas Cawangan Bukit Goram untuk memikirkan program yang dirancang tersebut.

“Kita melihat banyak bakat-bakat dalam anak-anak muda di Kapit dalam sukan muaythai dan berhasrat untuk mengembangkan potensi mereka ini.

“PMNS akan memberi pendedahan dengan lebih mendalam kepada mereka agar dapat mewakili Kapit ataupun Sarawak satu hari kelak di kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran Kapit Muaythai Challenge dan Mari Mencuba Sukan Muaythai yang diadakan di Dewan Suarah Kapit pada Jumaat.

Menyentuh perkara lain, Jumaat berkata PMNS akan memperbanyakkan penganjuran aktiviti sepanjang tahun ini sebagai persiapan menghadapi SUKMA 2024.

“PMNS telah merancang beberapa hala tuju untuk muaythai bagi menghadapi SUKMA 2024.

“Antaranya mengadakan beberapa kejohanan seperti Youth Muaythai Challenge, Samarahan Challenge, TYT Challenge, Premier Sarawak Challenge dan banyak lagi sepanjang tahun ini hingga 2024 untuk persediaan SUKMA,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan setinggi penghargaan terhadap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah atas sokongan dan dokongan terhadap program pembangunan PMNS.

Selain itu, Jumaat turut berterima kasih kepada SSC, MSNS atas sokongan untuk menganjurkan program tersebut yang menjadi pembuka aktiviti PMNS bagi tahun ini.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak kerana membenarkan penganjuran program tersebut di Kapit termasuk Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), pengurusan Dewan Suarah Kapit, Ibu Pejabat Polis Kapit, penaja Dayang G Boutique Kuching serta mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Saberkas Cawangan Bukit Goram, Judson Jurrau amat berterima kasih kepada PMNS kerana sudi menganjurkan program itu di Kapit.

Beliau juga gembira melihat sambutan menggalakkan dari pelajar-pelajar sekolah dan orang luar terhadap dua acara tersebut dan berharap PMNS akan meneruskan penganjuran aktiviti itu di Kapit selepas ini.

Sementara itu, kira-kira 200 pelajar dari beberapa sekolah sekitar Kapit mengambil bahagian dalam program Mari Mencuba Sukan Muaythai.

Mereka didedahkan dengan pelbagai teknik asas muaythai yang dikendalikan oleh jurulatih MSNS dan PMNS.

Manakala pada sebelah malam, berlangsung Kapit Muaythai Challenge yang membabitkan dua perlawanan pro, empat semi pro dan lapan amatur.

Pertembungan pro membabitkan wakil Sting Muaythai Club, Muhd Nurizman Abdullah menentang Faizal Johan dari PS Muaythai mencuri tumpuan pengunjung apabila Muhd Nurizman berjaya muncul pemenang.

Satu lagi perlawanan pro membabitkan Mohammad Hasbullah Mood (Kelab Muaythai Phoenix Meranek) dan Muhd Nuraikal Ismail (Sting Muaythai Club) pula dimenangi Mohammad Hasbullah.

Pemenang perlawanan semi pro ialah Muhammad Nur Aiman Kamaruddin (Kelab Muay Thai Kilas Petra Jaya), Zulhizam Zulhisham (Sting Muaythai Club), Muhammad Syamiel Saufie (Sting Muaythai Club) dan Faizal Johan (PS Muaythai).

Manakala pemenang perlawanan amatur antaranya Nasrullah Bohari (PS Muaythai), Jonnah Barrac David Lambek (PS Muaythai), Muhammad Syameir Farizan (Muaythai Kenyalang), Zikry Zaidi (Kelab Muay Thai Kilas Petra Jaya), Nur Aiman Ziqriey Nurazman (Kelab Muay Thai Kilas Petra Jaya), Jonnah Barrac David Lambek (PS Muaythai), Mohd Muazzam Mohd Raduan (PS Muaythai), Mohd Hakim (Sting Muaythai) dan Rizz Ezzandy Iswandy (Muaythai Kenyalang). – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *