Realisasi Inisiatif Perkampungan Digital Sungai Asap, Pelaksanaan Rangkaian Terbuka Perlu Dipercepat

UKAS  > Edisi-Tengah >  Realisasi Inisiatif Perkampungan Digital Sungai Asap, Pelaksanaan Rangkaian Terbuka Perlu Dipercepat
0 Comments

SABTU, 18 FEBRUARI 2023

BELAGA: Pelaksanaan rangkaian terbuka di Sungai Asap yang mirip model rangkaian terbuka Sebauh perlu dipercepatkan dalam merealisasikan inisiatif Perkampungan Digital Sungai Asap.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, memang wujud penyambungan rangkaian internet menerusi gentian optik di kawasan Belaga tetapi tidak memasuki kawasan Sungai Asap.

“Penyambungan talian tetap ke Sungai Asap amat penting sebagai usaha untuk mentransformasikan kawasan ini sebagai perkampungan digital.

“Pihak bank tidak dapat beroperasi di Sungai Asap jika tiada talian internet tetap kerana bank memerlukan data raya untuk berurusan dengan pelanggan mereka dan kita tidak boleh selamanya bergantung kepada perkhidmatan bank bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diberi taklimat mengenai rangkaian telekomunikasi di Daerah Belaga di Pejabat Daerah Belaga di sini, pada Khamis.

Kennedy menambah, inisiatif Perkampungan Digital Sungai Asap bakal memberikan manfaat kepada 20,000 penduduk kampung yang terdiri daripada 15 buah rumah panjang, dua buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah, klinik serta pejabat kerajaan.

Jelasnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah bersetuju terhadap cadangan pelaksanaan projek rangkaian jalur lebar terbuka berkelajuan tinggi di Sungai Asap malah mencadangkan agar projek perintis pendigitalan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di Sebauh turut dilakukan di Belaga dan Sungai Asap.

Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap ADUN Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata, Kerajaan Sarawak berharap setiap pelosok Sarawak dilengkapi dengan jaringan telekomunikasi.

“Kita tidak mahu ada pelajar terlepas peperiksaan awam atas talian atau belia yang terlepas panggilan temu duga kerana masalah Internet kerana perkara berkenaan amat menyedihkan.

“Saya juga berharap pihak yang membina kemudahan telekomunikasi ini untuk turun padang dan mengetahui sendiri keadaan di lapangan dan bukannya melalui ‘desktop’ sahaja serta bangunkan kerjasama dengan pejabat residen, pejabat daerah atau pusat khidmat bagi penyediaan data yang lebih tepat,” ujarnya.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Residen Bahagian Kapit, Galong Luang, Pengarah (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Cawangan Sarawak, Ts. Scott Kueh Sui Yek, Eksekutif Kanan Perancangan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Amir Firdaus Awangku Ismail, Pegawai Daerah Belaga, Bidah L. Lujah serta Jurutera Wilayah Tengah Sarawak Multimedia Authority (SMA), Ts. Helestine Lium Rolland Duat dan Ahli Teknologi SMA, James Bungan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *