Dasar Pendidikan Malaysia Perlu Konsisten Sekiranya Ingin Setaraf Negara Lain

UKAS  > Edisi-Utara >  Dasar Pendidikan Malaysia Perlu Konsisten Sekiranya Ingin Setaraf Negara Lain
0 Comments

AHAD, 19 FEBRUARI 2023

BINTULU: Dasar pendidikan negara ini perlu lebih konsisten sekiranya Malaysia ingin setaraf dengan tahap pendidikan di negara lain seperti Singapura atau Jepun.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, sistem kurikulum sedia ada yang sentiasa berubah hanya akan mengundang kekeliruan kepada golongan guru dan juga ibu bapa.

“Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengatakan bahawa tahap pendidikan kita adalah sama seperti Singapura dan juga Jepun. Saya secara peripadinya tidak setuju.

“Dasar pendidikan di Malaysia perlu mempunyai struktur yang lebih mantap dan bukannya berubah dengan setiap pertukaran Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Solat Hajat Perdana Pelajar Islam SPM dan STPM 2022/2023 sempena Sambutan Isra’ & Mi’raj Tahun 2023/2024 di Masjid Assyakirin Bahagian Bintulu pada Sabtu.

Sementara itu, Datuk Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menegaskan, Kerajaan Sarawak tetap mengambil berat tentang hal ehwal pendidikan sehingga mewujudkan sebuah kementerian tersendiri bagi meningkatkan status pendidikan di negeri ini.

“Usaha itu juga dapat dilihat dengan penubuhan universiti swasta di sini seperti Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Universiti Curtin yang dapat memberi manfaat kepada golongan pelajar khususnya anak Sarawak,” ujarnya.

Datuk Dr Annuar mengulas lanjut, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan permohonannya agar Kerajaan Sarawak membiayai 50 peratus yuran UTS bagi pendidikan anak Sarawak.

“Apabila saya mengambil alih sebagai Pengerusi UTS di Sibu, saya telah memohon kepada Premier Sarawak supaya 50 peratus daripada yuran universiti itu dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dan beliau bersetuju.

“Oleh itu, sekarang ini yuran UTS adalah sama dengan yuran untuk universiti awam seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Jadi peluangnya amat terbuka luas kepada anak-anak untuk melanjutkan pelajaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menaruh harapan agar rakyat Sarawak secara keseluruhannya mampu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya kembali ke negeri ini untuk berkhidmat kepada masyarakat tempatan.

Difahamkan, program tersebut turut disertai sebanyak 640 pelajar Islam Tingkatan Lima dari enam sekolah menengah dan satu institut tafiz serta 52 pelajar Islam Tingkatan Enam dari empat sekolah menengah dari sekitar daerah Bintulu.

Turut hadir ialah ADUN Jepak Datuk Talib Zulpilip, Pengerusi Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) Pandi Suhaili, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Samri Suhaili, Setiausaha Masjid Assyakirin Bahagian Bintulu Abang Arshad Bang Anuar dan Pengerusi Harakah Islamiah (HIKMAH) Cawangan Bintulu Yusuff Ali. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *