Mari Mencuba Sukan Muaythai di Sibu dapat sambutan menggalakkan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Mari Mencuba Sukan Muaythai di Sibu dapat sambutan menggalakkan
0 Comments

AHAD, 19 FEBRUARI 2023

SIBU: Sekitar 50 peminat sukan muaythai dari pelbagai lapisan usia menyertai program Mari Mencuba Sukan Muaythai yang diadakan di Eagle Muaythai Gym Sibu pada Sabtu.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Sibu dan Eagle Muaythai Gym Sibu.

Sesi kira-kira dua jam itu dikendalikan oleh jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Mohd Azan dan dikendalikan bersama jurulatih pembangunan Zulkeplie Abdul Rahman di mana para peserta didedahkan dengan pelbagai teori dan praktikal mengenai muaythai seperti pengenalan, asas tumbukan dan asas muaythai.

Menurut Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, pihaknya sangat gembira melihat penyertaan ramai belia termasuk kanak-kanak di Sibu dalam program tersebut meskipun sesi latihan hanya singkat.

Ujarnya, ia memperlihatkan sukan muaythai kini semakin mendapat tempat dalam kalangan belia di Sarawak dan ia petanda baik terhadap pembangunan sukan itu di negeri ini.

“Kita baharu selesai program Mari Mencuba Sukan Muaythai di Kapit pada Jumaat di mana ramai yang mengambil bahagian termasuk kanak-kanak.

“Alhamdullillah, sambutan diberikan belia di sini juga memberangsangkan. Ini memperlihatkan bahawa sukan muaythai ini semakin digemari oleh golongan belia bukan sekadar wadah untuk mereka bersukan.

“Bagi pihak PMNS, kita melihat ini sebagai perkembangan yang sangat baik terhadap pembangunan muaythai di Sarawak kerana ia akan membantu melahirkan lebih ramai atlet-atlet pelapis yang mungkin berpotensi kita ketengahkan ke kejohanan besar seperti kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas program itu berakhir.

Katanya, dengan Sarawak dalam perancangan untuk menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2024, menjadi komitmen PMNS untuk menyediakan atlet terbaik dalam misi memastikan Sarawak muncul juara keseluruhan nanti.

 “Saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Muaythai Sibu dan Eagle Muaythai Gym Sibu kerana sudi menjalin kerjasama dengan PMNS untuk menganjurkan program Mari Mencuba Sukan Muaythai.

“Kita akan meneruskan program seperti ini di bahagian-bahagian lain kerana mahu mempromosi sukan ini di seluruh Sarawak agar PMNS dapat mencungkil lebih ramai bakat-bakat baru yang mungkin dapat kita ketengahkan,” katanya. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *