MOTS Sambut Baik Maklum Balas Industri Perkapalan Sarawak

UKAS  > Edisi-Tengah >  MOTS Sambut Baik Maklum Balas Industri Perkapalan Sarawak
0 Comments

AHAD, 19 FEBRUARI 2023

SIBU: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) mengalu-alukan maklum balas daripada pihak berkepentingan daripada agensi kerajaan dan sektor swasta berhubung industri perkapalan di negeri ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan ll Sarawak Datuk Henry Harry Jinep berkata ini untuk mengekalkan peranannya sebagai fasilitator dan penyelaras untuk menyelesaikan isu-isu penting yang dihadapi oleh industri perkapalan di Sarawak.

Menurutnya, MOTS juga akan memastikan polisi kerajaan negeri melindungi kepentingan dan pada masa sama merancakkan industri perkapalan di Sarawak.

“Sejak penubuhan MOTS pada Ogos 2019, melalui Bahagian Pengangkutan Maritim dan Sungai serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), agensi di bawah bidang kuasa kementerian telah memainkan peranan penting untuk mengendalikan dan menyelesaikan isu berkaitan maritim dan sungai di Sarawak.

“MOTS telah terlibat secara aktif dan menjalankan beberapa siri mesyuarat, dialog, perbincangan dengan pemain industri perkapalan Sarawak, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak, jabatan dan agensi kerajaan lain yang berkaitan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan perkapalan di Sarawak.”

Beliau berkata demikian dalam ucapannya mewakili Menteri MOTS Dato Sri Lee Kim Shin semasa Majlis Pemasangan Jawatankuasa Eksekutif Ke-34 (2023-2024) di Hotel Kingwood di sini pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak mempunyai hala tuju pembangunan yang sangat jelas untuk mencapai status maju dan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 dengan kadar pertumbuhan purata lapan peratus setahun.

Namun untuk mencapai matlamat itu tegasnya, semua pihak perlu bekerja keras, merancang dan melaksanakan pembangunan seiring dengan strategi PCDS.

Beliau juga percaya dalam sektor perkapalan, harus ada kerjasama yang kukuh antara pihak berkepentingan dan badan kawal selia untuk memastikan kemakmuran dan kemajuan sektor perkapalan di Sarawak.

Turut hadir Pengerusi SSSA Yong Ing Huong, Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Mohamed Safwan Othman, Temengggung Dato Vincent Lau Lee Ming serta tetamu lain.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *