MSNR Perkasa Pendapatan Pekebun & Peladang Industri Getah

UKAS  > Edisi-Utama >  MSNR Perkasa Pendapatan Pekebun & Peladang Industri Getah
0 Comments

SELASA, 21 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Garis panduan “Malaysian Sustainable Natural Rubber” (MSNR) yang bakal diperkenalkan akan membantu memperkasakan pendapatan pekebun dan peladang kecil industri getah.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan MSNR juga akan membantu pekebun kecil kerana mereka menghuni 90 peratus daripada industri pengeluaran getah tempatan.

“Negara-negara di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh hanya melaksanakan polisi mampan seperti ini dari satu sudut sahaja.

“Tetapi kita akan melaksanakan polisi yang lebih menyeluruh kerana kita juga mahu membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan terutamanya dalam kalangan pekebun dan peladang kecil,” katanya semasa ditemui selepas merasmikan Persidangan Getah Antarabangsa 2023 (IRC23) anjuran Penyelidikan dan Pembangunan Getah Antarabangsa (IRRDB) di sini, pada Isnin.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Komoditi menambah, garis panduan MSNR ini telah dirangka agar mematuhi perjanjian yang telah dimeterai bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pekebun kecil kita banyak memberi sumbangan walaupun harga getah kini agak rendah dan tidak stabil. Kita harap melalui pendekatan MSNR ini, kita bukan sahaja akan dapat menjaga pendapatan pekebun kecil kita, malah dari sudut sosial mereka juga akan dipelihara,” katanya.

Tambah beliau, selain daripada memastikan industri tersebut terus berdaya saing di masa hadapan, beliau yakin melalui MSNR juga dapat berperanan meningkatkan taraf sosial pekebun dan peladang.

“Bagi 2022, eksport getah telah menyumbang RM47.6 bilion, bersamaan dengan 3.1 peratus jumlah pendapatan eksport negara.

“Setakat ini, Malaysia merupakan pembuat dan pengeksport terbesar untuk sarung tangan getah dan pengeluar getah asli ketujuh di dunia,” katanya lagi.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *