RABU, 22 FEBRUARI 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mendapat peruntukan yang mencukupi daripada Bajet 2023 untuk pelaksanaan projek pembekalan utiliti dan infrastruktur termasuk jalan raya.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, peruntukan tersebut penting untuk memastikan bekalan air dan elektrik dapat disalurkan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Ini adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat Sarawak secara keseluruhannya dapat dibela dengan baik.” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Majlis Perbarisan Bersama Anggota Beruniform Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Kuching pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman juga berharap pembentangan Bajet 2023 akan menumpukan kepada infrastruktur pendidikan dan perhubungan di seluruh Sarawak.

“Dari segi infrastruktur pendidikan, kita amat memerlukan ini kerana kita agak ketiggalan berbanding negeri lain, terutamanya dari segi infrastruktur sekolah yang dalam keadaan yang amat daif. 

“Ini amat penting untuk memastikan anak-anak Sarawak mendapat peluang yang baik untuk memiliki kemudahan pembelajaran yang mencukupi supaya mereka dapat bersaing dengan anak-anak luar negeri.” ujarnya.

Manakala, beliau menegaskan bahawa infrastruktur perhubungan seluruh Sarawak harus dilaksanakan pada setiap peringkat iaitu peringkat daerah, daerah kecil dan bandaraya sampai ke kawasan luar bandar serta pedalaman.

“Jaringan perhubungan ini mesti diteruskan kerana ia akan menjadi pemangkin utama untuk membangunkan Sarawak pada masa akan datang.” katanya lagi.

Turut hadir ialah Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan dan Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang. -EDISI UKAS

add comment