RABU, 22 FEBRUARI 2023

BINTULU: Temasya sukan boleh dijadikan platform untuk menyerlahkan semangat perpaduan yang diterapkan dalam kalangan rakyat Sarawak.

Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti memberitahu, ini kerana Sarawak terkenal dengan sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain.

Mengambil contoh Pasukan Bola Tampar Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Bahagian Bintulu yang bakal mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan, beliau berpesan kepada pasukan tersebut agar menonjolkan semangat keharmonian serta menjaga imej Sarawak.

“Bawa budaya harmoni masyarakat tempatan ke temasya kejohanan di peringkat kebangsaan kerana wilayah Sarawak terkenal dengan sikap tolak ansur serta menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan agama dan bangsa.

“Serlahkan semangat ini dan jadikan contoh kepada peserta dan kontinjen dari negeri lain tidak kira di dalam mahupun di luar gelanggang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi amanat kepada pasukan Bola Tampar MAKSAK Wanita, Bahagian Bintulu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Selasa.

Manakala, Residen Bahagian Bintulu itu turut mengingatkan setiap pemain agar sentiasa bersatu hati, bekerjasama dan berkomunikasi dalam apa jua keadaan.

Pasukan MAKSAK Bahagian Bintulu telah dilantik oleh MAKSAK Sarawak untuk mewakili dan mengetuai Pasukan Bola Tampar MAKSAK (Wanita) Sarawak ke peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan pada 23 hingga 26 Februari ini.

Pasukan tersebut terdiri daripada 12 pemain keseluruhan termasuk pemain simpanan iaitu enam pemain dari bahagian Bintulu, empat pemain dari bahagian Kuching dan Samarahan serta dua pemain dari bahagian Kapit. -EDISI UKAS

add comment