RABU, 22 FEBRUARI 2023

LIMBANG: Projek Pembinaan Jambatan Sungai Limbang Kedua telah mencapai kemajuan sebanyak 55 peratus setakat Januari 2023 dan dijangka siap pada penghujung tahun 2024.

Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Ir Aidel Lariwoo, projek yang menelan kos berjumlah RM187 juta ini mengalami kelewatan berbanding unjuran asal kemajuan iaitu sebanyak 88 peratus untuk tempoh tersebut.

“Ia mengalami kelewatan iaitu sekitar 33 peratus daripada jadual asal dengan pelbagai alasan telah diberikan.

“Dalam pada itu, kerajaan akan terus membuat pemantauan pada setiap minggu bagi memastikan pihak kontraktor mematuhi jadual pembinaan seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika mengadakan tinjauan ke tapak projek tersebut di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Ir Aidel menaruh harapan agar Bajet 2023 yang bakal dibentangkan terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur terutamanya bagi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Turut hadir, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Jurutera Bahagian Limbang Mahathir Jokeni dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi. -EDISI UKAS

add comment