Kementerian Kerja Raya Komited Tambah Baik Jaringan Jalan Raya

UKAS  > Edisi-Utama >  Kementerian Kerja Raya Komited Tambah Baik Jaringan Jalan Raya
0 Comments

RABU, 22 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM2 bilion setiap tahun kepada projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dan Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, kedua-dua projek LPB tersebut masing-masing diperuntukkan sebanyak RM1 bilion setahun.

Sehubungan itu, bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta yang membangkitkan isu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di LPB Sarawak, jelasnya terdapat tiga R&R serta lima ‘lay-by’ akan dibina di sepanjang jajaran projek tersebut.

Menurut beliau, pembinaan R&R itu telah ditetapkan di kawasan Jelukong, Lubok Antu; Sungai Basai di Selangau dan Lambir di Miri.

Manakala, lay-by akan dibina di Lundu, Roban di Saratok, Julau, Sungai Semanok di Bintulu dan Suai di Niah.

“Selain daripada menyediakan kemudahan asas untuk pengguna jalan raya untuk berehat dan solat, usahawan tempatan boleh menjana pendapatan dengan mengusahakan kemudahan kedai makan dan pasar tamu di R&R tersebut,”katanya dalam sesi penggulungan terhadap perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menyentuh mengenai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak, ulas Ahli Parlimen Kapit itu lagi, kerajaan Persekutuan melalui surat Menteri Kewangan (MOF) pada 4 Januari 2023 telah bersetuju untuk mengiktiraf kedua-dua JKR tersebut sebagai jabatan teknikal.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak juga diiktiraf sebagai sebuah jabatan teknik di bawah Arahan Perbendaharaan (AP) 182.

Dalam perkembangan sama, Dato Sri Alexander turut menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodi yang menanyakan mengenai projek yang dilaksana Kementerian Kerja Raya selain LPB.

Jelas beliau, terdapat beberapa lagi projek sedang berada di peringkat perancangan kementeriannya untuk menambahbaik jaringan jalan raya ke negara Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

“Pertama, Transborneo yang akan menambahbaik jalan Persekutuan sedia ada di Miri, Limbang dan Lawas melalui Brunei dan kedua, Sarawak-Sabah Link Road yang akan menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas dan seterusnya ke Ba’ Kelalan.”katanya.

Manakala, cadangan Dato’ Sri Doris berhubung pembinaan jalan ke sempadan di antara Sarawak dan Kalimantan pula menurut Dato Sri Alexander, turut diambil kira dalam Kajian Semula Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) oleh kementeriannya bagi mengenalpasti jajaran terbaik untuk penelitian lanjut bersama agensi pusat.

“Kementerian ini telah mengangkat cadangan-cadangan projek di sempadan Malaysia ke Indonesia iaitu kerja awalan dan reka bentuk bagi Projek Pembinaan Jalan Dari Kalabakan ke Sempadan Malaysia–Indonesia (Simanggaris) dan Cadangan Menaiktaraf FR21 Jalan Serian- Tebedu-Indonesian Border pada Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Kedua Belas untuk pertimbangan Agensi Pusat.

“Kelulusan bagi cadangan projek-projek ini akan dimaklumkan selepas pembentangan bajet kelak berdasarkan keutamaan dan kedudukan kewangan kerajaan,”ujarnya.

Untuk makluman, Kementerian Kerja Raya sedang menjalankan Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kajian ini merupakan kesinambungan daripada perancangan terdahulu iaitu HNDP Fasa 2 yang menjadi rujukan dari tahun 2010 sehingga 2025.

Antara skop kajian HNDP 2040 adalah untuk mengkaji keperluan cadangan jalan sempadan antarabangsa dengan Indonesia dan Brunei yang dijangka siap pada awal tahun 2025.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *