Laluan Pejalan Kaki Berbumbung SMK Bandar Bintulu Dijangka Siap Mei Depan

UKAS  > Edisi-Utara >  Laluan Pejalan Kaki Berbumbung SMK Bandar Bintulu Dijangka Siap Mei Depan
0 Comments

JUMAAT, 24 FEBRUARI 2023

BINTULU: Pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung yang menyambungkan jejantas ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, projek pembinaan yang merupakan salah satu Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di bawah peruntukannya itu dilaksanakan untuk kemudahan pengguna jalan raya terutamanya warga sekolah tersebut.

“Saya telah berbincang dengan pihak sekolah dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membina pejalan kaki berbumbung ini bagi menyediakan laluan pejalan kaki yang berteduh dan lebih selamat kepada murid-murid terutamanya semasa hari hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan ke tapak projek tersebut di sini pada Jumaat.

Hadir sama Penolong Jurutera JKR Bahagian Bintulu Ngu Tie Hwa.

Jelas Johnny lagi, terdapat segelintir murid yang terus melangkau pembahagi jalan untuk menyeberangi jalan tanpa menggunakan jejantas dan kelakuan ini amat membahayakan bukan sahaja kepada pelaku tetapi juga pengguna jalan raya yang berulang-alik di Jalan Tun Hussein Onn.

“Oleh itu saya telah berbincang dengan pihak JKR untuk menambahkan ketinggian pagar pembahagi jalan.

“Saya juga ingin menyaran terutamanya warga sekolah SMK Bandar Bintulu untuk mengguna pakai jejantas sedia ada bagi keselamatan diri dan orang awam,” tegas beliau lagi.

Beliau juga menambah, sesi dialog bersama dengan pihak sekolah serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dilakukan untuk mencari penyelesaian bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas di kawasan itu. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *