Penutupan Lebuh Raya Pan Borneo Di Jakar Hanya Sementara

UKAS  > Edisi-Tengah >  Penutupan Lebuh Raya Pan Borneo Di Jakar Hanya Sementara
0 Comments

JUMAAT, 24 FEBRUARI 2023

SARIKEI: Pan Borneo Highway Sarawak menjelaskan penutupan Lebuh Raya Pan Borneo di bahagian Jakar di sini hanya sementara iaitu selama dua bulan.

Menurut mereka, penutupan ini bertujuan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya kerana pemasangan pembentung dan tembok tanah akan dijalankan di bahagian tersebut.

Jelasnya lagi, pemasangan pembentung dan tembok tanah akan disiapkan dengan secepat mungkin bagi mengurangkan kesusahan kepada orang ramai terutamanya peniaga di Pekan Jakar.

Pada Jumaat, wakil Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Kapitan Ling Dien Yong bersama rombongan Pan Borneo Highway Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta para peniaga bersama mengadakan tinjauan ke Tapak Lebuhraya Pan Borneo – Jakar.

Ia susulan aduan para peniaga di pekan Jakar yang terjejas perniagaan akibat penutupan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di CH 42+500.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Huang yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merangkap ADUN Repok berharap pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dapat disiapkan mengikut jadual.

Selepas itu, rombongan meneruskan perjalanan ke Tanah Perkuburan Persatuan Foochow Sarikei untuk meninjau perkembangan jalan tar.

Jalan tar yang sedia ada terlalu condong sehingga pengguna jalan raya tidak nampak kenderaan di jalan raya yang melintas.

Pihak Pan Borneo berjanji akan menyiapkan kerja jalan tar yang baru untuk masuk ke tanah perkuburan sebelum Pesta Ching Ming nanti.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dicadangkan menyediakan semua kelengkapan keselamatan di setiap laluan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *