Belanjawan 2023: Pelbagai Program Akan Digerak Bagi Memupuk Perpaduan

UKAS  > Edisi-Utama >  Belanjawan 2023: Pelbagai Program Akan Digerak Bagi Memupuk Perpaduan
0 Comments

JUMAAT, 24 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM50 juta disedia menerusi Belanjawan 2023 bagi menggerak pelbagai program ke arah meraikan kepelbagaian dan merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, antara program yang akan digerakkan adalah ‘Kembara Perpaduan Malaysia Madani’ dan ‘Ini Warisan Kita’. 

Menurutnya, program tersebut menawarkan pelbagai aktiviti perpaduan dan integrasi sosial antara komuniti seperti liga sukan perpaduan, pertandingan kebudayaan, fiesta perayaan dan citarasa menu.

“Negara ini akan tegas menghadapi kelompok-kelompok melampau sama ada memainkan sentimen kaum dan agama yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

“Kita ambil pendekatan yang positif dan kita mengajak semua pihak, semua kerajaan negeri, semua syarikat, semua parti untuk bersama menggerakkan program yang dikendali oleh Kementerian Perpaduan,”katanya semasa membentang Belanjawan 2023 di persidangan Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk melaksanakan program gotong-royong di semua sekolah seluruh Malaysia.

Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja memupuk perpaduan malah turut mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam pembangunan anak-anak di sekolah.

“Program seumpamanya mesti melibatkan semua kaum melainkan daerah-daerah yang mana melibatkan hanya satu kaum seperti Dayak di Sarawak atau Melayu di Kelantan. Itu kita berikan sedikit kelonggaran,”ujarnya.

Selain itu tambah beliau, peruntukan RM50 juta turut disediakan bagi penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam seluruh negara.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *